Tiada amalan hak eksklusif tanaman pertanian

TIDAK ada dalam polisi Jabatan Pertanian, mana-mana negeri memegang hak eksklusif bagi sesuatu jenis tanaman atau hasil pertanian sehingga ia tak boleh ditanam di negeri lain.

Contohnya Melon Manis Terengganu (MMT) tiada peraturan yang melarang ia ditanam di mana-mana. Cuma di Terengganu kita ada SOP penanaman yang tersendiri untuk mengekalkan kualiti pada tahap premium. Kita bertanggungjawab dengan pengawalan kualiti MMT yang ditanam di negeri kita.

Negeri Perlis bukan pemegang paten hak cipta Mempelam Harum Manis. Tanamlah di mana saja, tiada sekatan yang melarang. Mempelam ini perlukan cuaca yang panas. Lagi panas lagi baik. Di Terengganu pun cuaca panas sebab itu kita boleh tanam dan kualitinya sama saja dengan Perlis.

Advertisement

Padi bukan hak eksklusif Negeri Kedah. Mana ada baruh, tanamlah padi kerana kita semua makan nasi.

Jangan ingat nenas hanya boleh ditanam di Pekan Nenas Johor. Langkap di Setiu walaupun tak ada nama nenas, banyak juga terdapat kebun nenas.

Duku Terengganu pun dah ditanam di Johor. Tak ada pun orang Terengganu nak saman. Begitulah kiranya ambe jelaskan supaya mudah difahami.

Tanah pertanian mesti dimanfaatkan

Bila dengar kita lulus tanah 500 hektar di Rhu Tapai Setiu kepada sebuah syarikat Antarabangsa untuk buat projek mega berimpak tinggi, ramai yang mesej tak setuju. Katanya warga tempatan juga nak tanah untuk bertanam.

Padahal di Rhu Tapai juga ada Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas lebih 500 hektar yang diberi dalam bentuk pajakan kepada warga tempatan dengan lot seluas antara 10 dan 20 ekar seorang. Akhirnya kami terpaksa mengambil tindakan menamatkan pajakan berpuluh-puluh lot tanah kerana ia terbiar ditumbuhi semak tanpa diusahakan melebihi 3 tahun. Bayaran sewa yang dikenakan hanyalah RM150 setiap hektar setahun. Kata nak tanah untuk bertanam. Kita bagi tanah akhirnya terbiar begitu saja. Dalam masa yang sama, ada rakyat yang dapat tanah dan berusaha. Kelompok ini saya puji.

Dalam mengembangkan ekonomi berasaskan pertanian, kita santuni rakyat tempatan untuk berusaha. Dalam masa yang sama kita perlukan projek berimpak tinggi yang mampu menjana ekonomi dan membuka peluang pekerjaan. Projek berimpak tinggi ini memerlukan modal besar ratusan juta yang tak mampu dibiayai rakyat setempat. Pelabur datang bawa teknologi dan bawa modal. Rakyat boleh tumpang kerja dan boleh belajar teknologi baru pertanian.

Tentunya perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri akan ada fasa khusus untuk melindungi kepentingan rakyat dan negeri. Setakat beroperasi di Terengganu sejak 3 tahun lepas, Syarikat Mc Cormick dari US ini menggunakan 100 peratus pekerja warga tempatan.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 22/4/2020