Usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew wajar disokong

SAYA turut menyaksikan aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew di serata pelosok tanah air. Saya juga menyaksikan serangan kepada beliau bertubi-tubi dari berbagai arah. Beliau bukan sahaja diserang oleh orang awam yang jahil malah diserang juga oleh ahli-ahli ilmu.

Kepada pihak yang menyerang suka saya bertanya kepada anda, “apa susahnya anda dengan aktiviti kebajikan Ustaz Ebit Lew itu?”. Adakah anda sakit dan merasa pedih dengan program beliau? Saya tidak nampak rasionalnya serangan anda kepada beliau. Anda pertikaikan keikhlasan beliau kerana setiap program beliau dirakam dan divideokan? Saya ingin bertanya sejak bila anda dilantik oleh Allah menjadi juru semak hati-hati manusia yang beramal sama ada ikhlas atau tidak? Bukan kah di sana ulamak berkata:

Advertisement

أمرت ان احكم بالظاهر والله يتولى السرائر.

“Aku diperintah berhukum dengan apa yang zahir dan urusan Allahlah Yang Mengurus apa yang tersembunyi.”

Ingatkah anda peristiwa Sahabat Rasulullah S.A.W, Usamah yang membunuh seorang kafir dalam satu peperangan. Sedangkan saat Usamah akan membunuhnya lantas si Kafir tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Namun Usamah tetap membunuhnya. Bila ditanya oleh Rasulullah mengapa beliau membunuh seorang lelaki yang telah mengucap syahadah? Lalu Usamah menjawab lelaki tersebut mengucapkannya kerana takut dibunuh. Lalu Baginda Rasulullah S.A.W membalas;

أفلا شققت عن قلبه حتى تعلم اقالها ام لا

“Apakah kamu membelah dadanya hingga kamu tahu apa yang dikatakan atau tidak.”

Jika aktiviti kebajikan Ustaz Ebit itu dari kewangan beliau sendiri, maka saya melihat tiada cacat dan celanya bila beliau rakam dan videokan. Kerana bukankah dengan rakaman itu akan mendorong orang lain untuk turut menderma dan berkebajikan. Ulamak menyatakan ada dua amalan yang boleh dipamerkan kepada khalayak, iaitu infak dan jihad kerana akan mendorong orang lain mengikutinya. Sebuah Hadis dari Abi Masu’d Uqbah bin Amrin Al-Ansory al-Adawyyi di mana Nabi S.A.W bersabda;

من دل على خير فله مثل أجر فاعله

“Barangsiapa menunjukkan kepada kebaikan maka baginya pahala yang sama dengan orang yang melakukannya.”

Yang kedua, jika kebajikan yang beliau lakukan itu datang dari sumbangan dan kewangan pihak lain, maka sangat wajar beliau videokan kerana akan lebih meyakinkan para penyumbang dan mengelak daripada fitnah. Lalu waspadalah dalam memberikan komen dan kritikan. Jangan biarkan perasaan hasad menguasai diri kita.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/4/2020