Zakat: MAIPk sedia kemudahan atas talian

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) telah mempersiap dan menetapkan kaedah serta kadar pembayaran Zakat Fitrah bagi umat Islam di negeri ini sepanjang Ramadan.

Advertisement

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin, kaedah disusun telah disesuaikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan ketika ini.

“Bagi memastikan bayaran zakat tahun ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan berjalan lancar, orang ramai digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan pembayaran secara atas talian.

“Langkah seumpama ini sudah pasti memberikan kelegaan kepada umat Islam di Perak disamping memastikan agihan bantuan kepada asnaf dapat dibuat sebaiknya,” ujar beliau.

Maklumnya, MAIPk telah menyediakan kemudahan itu melalui aplikasi ‘GoPayZ’, ‘QRPay Maybank’, ‘SnapNPay’ dan ‘Financial Proces Exchange (FPX)’ menerusi portal ezakat.maiamp.gov.my.

Berdasarkan pengumuman baru-baru ini, kadar zakat fitrah bagi seluruh negeri Perak dikekalkan pada harga RM7 bagi minimum, selain pilihan RM14 dan juga RM21.

Beliau turut berkata, bayaran terus masih boleh dibuat kepada amil zakat yang dilantik melalui kaunter secara ‘pandu-lalu’ dan mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya lanjut, kaunter tersebut akan disediakan di setiap masjid utama di setiap daerah, selain masjid di tepi jalan, serta tanpa perlu bersalaman antara amil dan pembayar zakat sebagaimana kebiasaan.

Beliau juga menjelaskan, sebahagian amil zakat akan ditugaskan ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman yang tiada akses internet bagi memastikan kutipan zakat dapat dibuat secara menyeluruh.

Sementara itu, amil yang telah diberi kad kuasa juga akan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan golongan kurang upaya seperti warga emas atau keuzuran atau tidak mahir menggunakan teknologi boleh menunaikan ibadah zakat.

Dalam pada itu, pihak MAIPk juga menyediakan Tabung Khas Fitrah di hospital dan Balai Polis bagi kemudahan petugas barisan hadapan menunaikan rukun Islam ke empat tersebut. – HARAKAHDAILY 22/4/2020