Covid-19: 90 pulih, 71 kes baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 71 kes baharu Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 5,603.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan terdapat 90 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 sebanyak 3,542 kes.

Advertisement

Dengan demikian itu, ini bermakna kes aktif Covid-19 di negara ini ialah sebanyak 1,966 kes. Daripada 71 kes baru yang dilaporkan, 19 merupakan kes import dan 52 merupakan jangkitan tempatan.

Katanya, sehingga kini, 42 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 21 daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimapun terdapat dua kematian terbaharu dicatatkan yang turut melibatkan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menjadikan jumlah terkini yang maut akibat Covid-19 seramai 95 orang.

“Kes kematian ke-94 adalah kes ke-3,871 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-3,662.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam. Ini merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan KKM.

“Kes kematian ke-95 merupakan kes ke-4,129 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1,575. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 11.48 malam,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 23/4/2020