PKP: Kadar pematuhan semakin baik – Menteri

KUALA LUMPUR: Jumlah tangkapan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin menurun.

Advertisement

Sehingga semalam PDRM telah menahan 763 individu berbanding 865 individu pada hari sebelumnya kerana ingkar PKP merangkumi 648 individu direman dan 115 individu diberikan jaminan polis.

Seramai 860 individu telah dituduh di mahkamah semalam, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 18,498 individu.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, trend penurunan ini menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap pematuhan PKP.

Selain itu, ia juga kesan daripada kawalan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APM, RELA dan bantuan badan beruniform yang lain yang bekerja keras mengawal pergerakan rakyat di seluruh negara.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun berharap trend penurunan ini kekal bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

SOP PKP bulan Ramadan

Beliau menegaskan, SOP PKP di bulan Ramadan masih kekal seperti SOP PKP yang sebelum ini.

Namun, terdapat pengecualian kepada kenderaan awam untuk keluar membeli barangan keperluan bagi menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan untuk bersahur.

Ujarnya, SOP PKP pada bulan Ramadan kenderaan awam dibenarkan keluar pada jam 4 sehingga 10 malam iaitu ditambah satu jam daripada sebelum ini.

“Dari segi jangka waktu perniagaan kedai makan dan sebagainya, ingin saya maklumkan bahawa SOP pada bulan Ramadan sama sahaja dengan SOP bulan biasa di PKP 1, PKP 2 dan sebahagian daripada PKP 3.

“Kecuali yang pertamanya dari segi kenderaan awam, dulu 5 hingga 10 malam, kita tambahkan masa satu jam iaitu pukul 4 hingga 10 malam,” katanya pada sidang media harian PKP, hari ini.

Begitu juga katanya, waktu perniagaan di pasar basah akan dilanjutkan sehingga jam 2 petang bagi memberi kelonggaran kepada umat Islam yang berpuasa membeli barangan keperluan bagi menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Kekeliruan permohonan pulang ke rumah

Ismail Sabri turut menjelaskan kekeliruan mengenai pengumuman terhadap permohonan mereka yang ingin pulang ke rumah yang terletak di bandar seperti Kuala Lumpur diingatkan mereka tidak dibenarkan terus pulang selepas membuat permohonan pada 25 April itu.

Jelasnya, pihak kerajaan membuka permohonan tersebut bagi mengumpul maklumat berapa jumlah yang akan pulang.

Manakala keputusan sama ada dibenarkan pulang atau tidak hanya akan ditentukan selepas mendapat keputusan hasil mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM.

Katanya, banyak perkara perlu diteliti malah SOP yang lebih ketat akan dilaksanakan jika keputusan tersebut dibenarkan.

“KKM, MKN akan kaji secara menyeluruh sama ada kebenaran diberikan atau tidak itu terpulanglah, itupun kita jangka informasi yang kita akan dapat daripada polis mungkin sehingga 1 Mei.

“Selepas daripada itu barulah perbincangan diadakan.

“Jadi bukan automatik mereka boleh balik. Untuk peringkat awal ini mendaftar dahulu di balai polis atau melalui online mulai 25 April nanti,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 23/4/2020