PKP tingkat keserasian PN Padang Rengas

PADANG RENGAS: Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghad dan membatas banyak urusan, namun hikmahnya menyebabkan PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Padang Rengas mengukuhkan lagi keserasian antara kedua pihak.

Advertisement

Hal tersebut terserlah dari penyelarasan dalam pelaksanaan gerak kerja dan mengemaskini secara bersama usaha menghulurkan bantuan antara pusat operasi COVID-19 hingga membolehkan ia berjalan secara lebih tersusun, sistematik dan aktif.

Bagi menjayakan penyampaian kepada sasaran disebalik kekangan yang didepani, pemimpin tertinggi PAS dan Umno Padang Rengas sentiasa berhubung dan berkongsi maklumat demi memenuhi keperluan penduduk lantaras terjejas oleh arahan di bawah PKP.

Malah, selain kesepaduan peranan kedua pihak, sikap saling membantu dan memenuhi juga dizahirkan apabila Pusat Khidmat Parlimen serta ADUN dari Umno turut memberi sumbangan kepada Pusat Operasi COVID-19 PAS bagi disalurkan kepada penerima.

Malah, kerjasama kedua pihak diperteguhkan lagi dengan kehadiran pihak BERSATU menerusi sayap Pemudanya yang turut bersama membantu kerja-kerja menyalurkan bantuan kepada para penerima telah dikenal pasti.

Yang DiPertua PAS Padang Rengas, Sukeri Mat Amin menyifatkan kolaborasi dibina antara parti-parti Perikatan Nasional (PN) itu secara nyata telah membawa manfaat untuk penduduk dalam Parlimen ini. – HARAKAHDAILY 23/4/2020