PKR sertai Perikatan Nasional hanya spekulasi

PEPERANGAN menghadapi COVID-19 mula menunjukkan kesan-kesan positif masuk fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. PKP di Malaysia mula dilaksanakan sejak 18 Mac dan fasa ketiga dijangka berakhir pada 28 April ini.

Pada 18 April lalu Malaysia merekodkan cuma 54 kes baru sejak PKP dikuatkuasakan, iaitu angka terendah manakala dari 5,305 kes yang dirawat seramai 3,102 orang telah pulih.

Jika trend ini berterusan tidak mustahil Malaysia bakal muncul sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang berjaya mengatasi ancaman wabak durjana ini.

Ternyata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya telah berjaya merancang dan melaksanakan langkah-langkah berkesan dengan bantuan para pegawai dan kakitangan Kerajaan sehingga membawa kita ke tahap pencapaian seumpama ini.

Advertisement

Malah bukan sahaja rakyat Malaysia, pihak Antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO telah merakamkan kekaguman dengan pencapain Malaysia dalam menghadapi pandemik ini.

Dalam pada berkurung di rumah kecuali bagi mereka yang dibenarkan, dengan pendapatan yang tersekat dan ada yang terputus, politik di Malaysia rupanya terus bergelora, pandemik atau tidak.

Paling menarik apabila Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim memaklumkan yang baru-baru ini beliau sempat berjumpa Perdana Menteri (PM) di Putrajaya , menurutnya berbincang mengenai langkah menangani wabak COVID-19.

Untuk rekod Anwar sekadar Ahli Parlimen dan pemimpin PH, beliau bukan Ketua Pembangkang kerana di Parlimen jawatan Ketua Pembangkang kini kosong apabila Ketua Pembangkang yang dilantik Dato’ Seri Ismail Sabri hari ini telah menjadi Menteri Kabinet Kerajaan baru PN.

Sejurus Anwar mengeluarkan kenyataan di media sosial dari hal perjumpaan beliau dengan PM, berbagai spekulasi muncul. Antaranya konon dalam perjumpaan 45 minit itu Anwar telah menyatakan kesediaan partinya PKR untuk menyertai Kerajaan PN tanpa membawa DAP atau PAN. Kononnya Anwar mengenakan syarat yang beliau harus diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Meriah media sosial khususnya yang pro PKR dengan spekulasi berkenaan yang ternyata cuba mempengaruhi rakyat agar tergiur dengan langkah tidak masuk akal itu. Setelah hilang kuasa lebih 2 bulan ternyata PKR cukup terkesan dan kini terdesak merangkak untuk kembali berada di atas persada kuasa walau apa acara sekalipun.

Sedangkan ramai melihat kunjungan Anwar itu jelas bertentangan dengan sikap dan pendirian PH terhadap Muhyiddin sebagai PM dan Kerajaan PN sebelum ini. Bukankah Anwar dan PH yang sebelum ini menyerang dan mempertikaikan kesahihan Kerajaan ini?

Bukankah mereka yang menuduh Kerajaan ini sebagai Kerajaan yang mengkhianati mandat rakyat, Kerajaan pintu belakang dan berbagai lagi maki-hamun yang negatif? Kononnya PN merampas kuasa dari Kerajaan PH yang sah.

Mungkin Anwar sekurang-kurangnya telah insaf, dan menerima hakikat bahawa rakyat dan negara termasuk beliau perlu ‘move on’ dan menerima kenyataan bahawa hari ini Kerajaan PH telah lenyap dan roboh dan yang sah berkuasa setelah mendapat perkenan Istana adalah Kerajaan PN di bawah Muhyiddin. Kehadiran Anwar di Putrajaya ternyata melenyapkan segala tuduhan dan pertikaian terhadap Kerajaan PN sekali gus mengiktiraf Muhyiddin sebagai PM.

Namun munasabahkah PN yang terdiri dari BERSATU, BN, PAS yang disokong GPS dan beberapa parti di Sabah yang kini membentuk Kerajaan Persekutuan mahu membuka laluan buat kemasukan PKR dan mengangkat pula Anwar sebagai TPM sedangkan di sana tiada keperluan pun? Bolehkah mereka yang dipecat dari PKR yang kini menganggotai PN menerima Anwar dan gerombolan PKR nya dengan senang? Bolehkah BN dan PAS terima Anwar?

Kerajaan PN ini berdiri atas sokongan BERSATU, BN dan PAS serta parti-parti lain dari Borneo, dan ia telah diberi perkenan oleh Istana, maka inilah masanya untuk ia menunjukkan kemampuan dan kebolehannya.

Majoriti rakyat jelata telah mula selesa dan menerima dengan hati terbuka Kerajaan baru ini yang telah mengangkat martabat mereka dan menamatkan dominasi DAP dalam Kerajaan sebelum ini.

Kombinasi Kabinet baru yang mantap dan disenangi ini telah meredakan keresahan dan kebimbangan rakyat, dan kini masanya untuk membuktikan kemampuan mereka tanpa banyak berpolitik lagi.

Sesungguhnya tiada keperluan langsung untuk PN membuka pintu buat Anwar dan PKR yang sebelum ini telah banyak membikin onar dengan kredibiliti yang sangat diragui rakyat apa lagi melantiknya pula sebagai TPM. Sanggup dan tergamakkah Anwar dan PKR menceraikan DAP dan PAN yang sebelum ini banyak berkorban buatnya?

Ternyata spekulasi bebal ini sekadar mahu mengganggu kelicinan dan kelancaran perjalanan Kerajaan PN yang walaupun baru 2 bulan usianya tetapi telah jauh mengatasi Kerajaan 22 bulan PH dari segi prestasi dan memenangi keyakinan rakyat.

Sewajarnya Anwar dan PH tumpukanlah masa pada menstrukturkan semula PH yang rapuh setelah roboh dan hilang kuasa itu. PKR sendiri pun masih bergolak dengan ramai yang dipecat dan diambil tindakan, jaga dan peliharalah rumah tangga sendiri terlebih dahulu bimbang nanti yang dikejar tidak dapat yang dikendong berterabur berciciran.

Manakala DAP pula perlu merawat partinya yang kini semakin dibenci oleh majoriti umat Melayu akibat dari gelagat dan sikap pimpinannya semasa dalam Kerajaan dahulu. Demikian juga PAN yang semakin terserlah sekadar terompah kayu DAP.

PH perlu jadi pembangkang yang berwibawa, bersama menyumbang ke arah pembinaan negara serta menjadi semak dan imbang yang konstruktif dan produktif buat negara. Lupakanlah angan-angan untuk kembali berkuasa kecuali jika ada rezeki dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Jika diizinkan Allah S.W.T, berjaya Kerajaan PN dalam mengekang dan memerangi COVID-19 ini, kejayaan itu dijangka akan melonjak sokongan dan keyakinan rakyat terhadap PN dan melalui kepercayaan itu politik negara diyakini akan kembali stabil dan pasti ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang positif yang bakal membawa kebaikan pada rakyat dan negara.

Untuk itu teruslah PN melangkah gagah kerana pasca COVID-19 ini negara perlu dibina semula agar kembali selamat, stabil dan sejahtera buat semua.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 23/4/2020