Selamat menyambut bulan Ramadan

SAYA ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam khususnya.

Advertisement

Bulan yang mulia ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam apa jua keadaan. 

Perubahan yang besar akan turut dialami pada bulan Ramadan kali ini. Keseronokan terawih beramai-ramai, ifthar besar-besaran dan bazar Ramadan di seluruh negara tidak lagi diteruskan. 

Malah, ibadah umrah pada bulan Ramadan yang sentiasa diidamkan oleh setiap individu juga terpaksa ditangguhkan demi kemaslahatan bersama.

Namun begitu, saya yakin normal baharu yang bakal dilalui mampu memberi impak yang positif terutama dari aspek kesejahteraan sesebuah keluarga. 

Masyarakat seharusnya mengambil peluang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai medium untuk merapatkan tali persaudaraan dan mewujudkan semangat kekeluargaan di kalangan keluarga dan sahabat.

Amalan yang berterusan sepanjang sebulan istiqamah bersama-sama mampu melahirkan impak positif bukan hanya pada bulan tersebut malah selepas PKP ditamatkan juga tidak mustahil diteruskan lagi.  

Selain itu, Perintah pergerakan ini tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menyekat peluang mendapatkan pendidikan kerohanian. Hal ini kerana, penggunaan teknologi yang semakin optimum sewajarnya dijadikan medium untuk mendapatkan akses ilmu agama dengan senang dan cepat. 

Saya menyeru kepada semua umat Islam agar Ramadan kali ini bukan sahaja dijadikan sebagai medan perjuangan menentang hawa nafsu, lapar dan dahaga malah ia juga perjuangan menentang Virus Covid-19. 

Ayuhlah kita bersama-sama menurut segala arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan demi kesejahteraan bersama.

Akhirnya, marilah kita sentiasa berdoa agar peluang yang diberikan untuk menjalani bulan Ramadan dapat digunakan sebaik mungkin. 

Saya akhiri dengan satu doa yang disebut dalam Kitab Majma’ al-Ahbab yang bermaksud;

“Ya Allah berikanlah keselamatan kepadaku untuk menghadapi Ramadan. Berilah kesejahteraan Ramadan untukku dan terimalah ibadah Ramadan dariku”


“Islam Memimpin Perpaduan”
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR

Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 23/4/2020