Tips menyediakan diri memasuki Ramadan

KUALA LUMPUR: Setiap Muslim mesti berusaha ‘mengenali’ Ramadan serta berniat dan berazam untuk menjadikannya lebih baik berbanding Ramadan di tahun-tahun terdahulu yang sudah dilalui.

Advertisement

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menitipkan tips demikian sebagai panduan menghidupkan Ramadan dikesempatan diri dipertemukan Allah dengan bulan penuh keberkatan ini.

Seru beliau, ulangkaji maklumat mengenai Ramadan mesti dilakukan meliputi definisi, hukum berkaitan, kelebihan, kemuliaan dan keutamaannya, kerana hal itu dapat memotivasikan diri menyambut kehadiran bulan ini.

Paling utama menurutnya, adalah untuk menyediakan diri mengisinya dengan sebanyak-banyak amal soleh disamping berdoa agar selalu diberi peluang, kekuatan dan kesabaran menjalani tarbiyah Ramadan.

Beliau juga menyarankan agar diadakan jadual harian untuk mengisi agenda Ramadan, selain saling mengingati sesama ahli keluarga mengenai kelebihan bulan ini serta peranan setiap diri terhadapnya.

Selain itu, Ustazah Nuridah juga menasihatkan agar bersederhana dalam menyiapkan makan minum ketika berbuka dan bersahur agar terhindar pembaziran. – HARAKAHDAILY 23/4/2020