20 pusat pengumpulan juadah e-Ramadan di Kelantan

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengagihkan ayam mentah sumbangan Jukee Ayam Enterprise kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan.

TUMPAT: Kerajaan Kelantan membuka 20 pusat pengumpulan makanan melalui sistem e-Ramadan bagi memudahkan peniaga meneruskan perniagaan sempena Ramadan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kaedah itu sebagai pemudah cara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Katanya, sistem jualan makanan dalam talian diwujudkan bagi membantu peniaga yang terkesan akibat ketiadaan bazar Ramadan ekoran wabak Covid-19.

Advertisement

“Pusat pengumpulan itu diwujudkan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan diuruskan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd,” katanya kepada media sempena program pengagihan 2,000 ayam mentah sumbangan Jukee Ayam Enterprise di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di sini semalam.

Ayam berkenaan diberikan kepada 2,000 penduduk yang terkesan ekoran PKP di DUN terbabit.

Menteri Besar juga berkata, mana-mana peniaga yang berdaftar dalam talian e-Ramadan boleh mula membuat tempahan untuk tujuan mengumpul makanan ke pusat pengumpulan sebelum jam 10 pagi.

“Makanan berkenaan akan dibawa ke pusat pengumpulan bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang. Kemudian petugas yang dilantik akan terus menghantar barangan pula kepada pelanggan,” katanya.- HARAKAHDAILY 24/4/2020