Kekalkan ‘normal baharu’ yang positif dalam masyarakat

ADA HIKMAH yang sangat besar, di tahun ini kita menyambut Ramadan semasa wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan. Sama-sama kita renungi dan hayati.

Advertisement

Trend graf yang menurun dan mendatar, membuktikan komitmen dan usaha bersama antara kita semua yang mula menampakkan hasil. Jangan jadikan ini suatu tiket untuk kita mula berbuat sewenangnya. #KitaMestiMenang dalam melawan pandemik ini.

Yakinlah, semua ini insya-Allah, akan berakhir sebentar sahaja lagi. Dan semua ini sesungguhnya akan dikenang sehingga ke generasi seterusnya, zaman berzaman. Antara hikmah yang dapat disimpulkan adalah:

Dari sudut akidah
Hikmah dari sudut akidah bilamana kita berpuasa ketika pandemik ini, dapat merasakan betapa kerdilnya diri kita berbanding kekuasaan Allah. Dengan hanya virus sekecil itu, dunia telah menjadi huru hara. Nyawa manusia ibarat berada di hujung tanduk. Ini masanya untuk kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Jika tidak bertaubat di kesempatan ini, kita bimbang kita mungkin tidak akan mendapat lagi peluang kali kedua yang lebih baik.

Dari sudut ibadah
Hikmah dari sudut ibadah, kita lebih menghayati makna puasa bukan sekadar menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan terpaksa juga meninggalkan perkara lain yang menjadi kebiasaan kita seperti solat tarawih di masjid, membeli juadah di pasar, membeli pakaian raya di pusat beli belah, dan persediaan hari raya yang lain. Perkara ini jika kita fahami, juga merupakan suatu bentuk ibadah dan kehambaan kepada Allah. insya-Allah beroleh pahala sekalipun hanya duduk di rumah dan tidak keluar sewenangnya semasa PKP berlangsung.

Dari sudut akhlak
Hikmah dari sudut akhlak, kita semua menjadi terdidik dengan pelbagai normal baru yang positif. Kita belajar mendidik akhlak diri dan keluarga dengan arahan-arahan kerajaan yang bersifat menjaga Maqasid Syariah yang 5 iaitu kepentingan menjaga Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta. Akibat keterbatasan kawalan pergerakan, masa rakyat juga cenderung digunakan untuk bersosial dalam media sosial. Jadi hendaklah kita turut menjaga akhlak ketika melayari media sosial.

Dari sudut kekeluargaan
Hikmah dari sudut kekeluargaan juga tidak terungkapkan. Dek kesibukan dan tuntutan kehidupan, banyak keluarga yang makin pincang. Justeru, gunakan peluang Ramadan semasa PKP ini untuk merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dengan masa dan aktiviti yang berkualiti. Bersolatlah fardhu, tarawih dan tadarus Al Quran bersama-sama. Begitu juga menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur bersama-sama.

Dari sudut kemasyarakatan
Hikmah dari sudut kemasyarakatan, kita dapat melihat usaha dan kebersamaan rakyat yang padu dalam memerangi pandemik ini. Banyak NGO dan individu semakin aktif menyampaikan sumbangan. Dijangkakan, bulan Ramadan ini akan semakin banyak sumbangan dijalankan. Kita juga menjadi umpama satu keluarga besar, yang saling memberi semangat dan dorongan. Dengan semangat kepimpinan negara yang baru, Insha Allah masyarakat Malaysia akan bertambah baik dan maju.

Banyak lagi hikmah, yang tak mampu kita tuliskan semuanya. Berbalik kepada diri masing-masing untuk menggali hikmahnya.

Semoga kita semua dapat memanfaatkan Ramadan semasa PKP ini sebagai satu hadiah yang tidak ternilai dari Allah.

Semoga para pemimpin, ‘frontliners’ dan rakyat semua terus bersatu hati dan berpadu tenaga dan usaha untuk membina masa depan bersama yang lebih baik.

DR MARDHIYAH HAYATI SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak
1 Ramadan 1441H / 24 April 2020 M – HARAKAHDAILY 24/4/2020