Keperluan sepanjang Ramadan cukup – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semalam penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian membabitkan 25 jenis bekalan di 970 pemeriksaan premis perniagaan termasuk 753 peruncit, 168 pemborong dan 31 pengilang.

Advertisement

“Secara keseluruhannya, bekalan barang keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperoleh,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harian, hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan basah seperti sayur-sayuran, daging, ayamn dan telur juga lebih daripada mencukupi.

“Oleh itu, saya menasihati kepada semua supaya tidak perlu bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian bagi menyambut bulan Ramadan ini kerana ia dijamin mencukupi,” jelasnya lagi.- HARAKAHDAILY 24/4/2020