Mahasiswa IPT dibenar pulang mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR: Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan swasta (IPTS), termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan dibenarkan pulang bermula Isnin ini (27 April) secara berperingkat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dijangkakan hampir 53,000 pelajar yang akan dibawa pulang, namun hanya membabitkan kawasan zon hijau.

“Mesyuarat hari ini telah bersetuju untuk membenarkan pergerakan penghantaran pulang pelajar IPT bermula Isnin, 27 April 2020.

Advertisement

“Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar di waktu siang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, pelajar akan menjalani saringan terlebih dahulu sebelum menaiki bas walaupun tiada gejala dan mereka akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka.

Jelasnya, penghantaran menggunakan bas akan dihadkan dan dipastikan dari segi penjarakan sosial dengan tempat duduk untuk dua orang hanya boleh digunakan seorang, iaitu kalau bas itu untuk 40 penumpang, hanya 20 penumpang dibenarkan.

“Pelajar yang memiliki kenderaan sendiri dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 24/4/2020