Mangsa ribut dibantu wakil rakyat PN

BAGAN SERAI: Seawal hari pertama Ramadan, sebuah keluarga sudah teruji dengan kejadian ribut yang bukan sahaja merosakkan kediaman mereka, malah menyebabkan dilanda banjir berikutan hujan lebat.

Advertisement

Namun, nasib itu segera mendapat perhatian EXCO Kerajaan Negeri Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria di mana segera menyalurkan peruntukan khas bantuan kepada semua mangsa kejadian.

“Kita (kerajaan) ada (sediakan) peruntukan untuk bencana. Alhamdulillah melalui peruntukan ini dapat membantu penduduk dengan lebih cepat tanpa menunggu bantuan lain (yang) lebih banyak prosedurnya,” ujar beliau.

Razman hadir bersama Ahli Parlimen Bagan Serai, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali menyantuni mangsa-mangsa ribut termasuk menyerahkan bantuan di DUN Gunung Semanggol, Selinsing dan Alor Pongsu.

Turut disantuni dengan kerjasama Umno Bahagian Bagan Serai itu adalah golongan asnaf termasuk ibu tunggal dan keluarga yang terputus pendapatan bulanan dengan kehadiran sama ADUN Selinsing, Mat Noor Dawoo.

Beliau menyifatkan kehadiran bersama wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu melambangkan gerak kerja satu pasukan dan menunjukkan kekuatan dalam menguruskan hal ehwal penduduk.

Hadir sama pada majlis sumbangan bantuan ihsan COVID-19 itu adalah Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Bagan Serai, Ustaz Abdul Aziz Abdul Majid dan Ustaz Sayuti Abdul Ghani serta Ketua Wanita Umno Bagan Serai, Zarina Abdul Majid. – HARAKAHDAILY 24/4/2020