PKP: Kerajaan harap jumlah tangkapan menurun

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan terdapat peningkatan kenderaan setelah mengadakan sebanyak 827 sekatan jalanraya di seluruh negara, semalam.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM telah melakukan pemeriksaan keatas 627,494 kenderaan.

Katanya, terdapat kenaikan yang begitu tinggi berbanding dari hari sebelumnya.

“Saya percaya kita dilaporkan bahawa ianya mungkin berpunca daripada orang ramai keluar untuk membeli barangan keperluan untuk menyambut hari pertama ramadhan hari ini,” ujar beliau.

Sementara itu, sebanyak 42,941 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan terdapat sebanyak 6,700 premis telah diperiksa.

Dalam masa yang sama, PDRM telah menangkap seramai 550 individu berbanding dengan 763 individu pada hari sebelumnya kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 480 individu yang direman dan 70 individu yang diberikan jaminan polis.

Seramai 1,014 individu telah dituduh di mahkamah semalam, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP semalam adalah seramai 19,048 individu.

Bagaimanapun Ismail Sabri berharap jumlah tangkapan akan menurun bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita berharap supaya jumlah tangkapan ini akan terus menurun dan menggambarkan kadar pematuhan rakyat terhadap peraturan PKP semakin meningkat,” katanya pada sidang media harian PKP, hari ini.- HARAKAHDAILY 24/4/2020