Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (38)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا

“Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka. Lalu ikan itu menggelongsor menempuh jalannya di laut.”

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًا

“Setelah mereka melepasi (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada budaknya: “Bawalah makanan kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.

Ibrah akhir zaman

Jika diambil kira ayat-ayat lain di dalam al-Quran, penekanan berkenaan makanan sangat banyak meliputi soal halal haram, kualiti, kuantiti, perniagaan, pemberian dan banyak lagi. menunjukkan bahawa makanan adalah satu aspek yang dititik beratkan oleh Islam. Khusus di dalam surah ini, terdapat dua lagi ayat selain ayat ini di dalam surah al-Kahfi yang menyatakan mengenai makanan iaitu ayat ke-19 dan ayat ke-77. Menunjukkan surah akhir zaman ini juga mementingkan aspek makanan.

Isu bekalan makanan menjadi perkara yang kritikal menjelang abad ke-21 ini. Walaupun dunia dikatakan berada pada tahap kemuncak ketamadunan pada era ini, namun masih terdapat manusia yang tidak mendapat hak asasi mereka terutama dari sudut bekalan makanan yang sepatutnya. Walaupun dunia hari ini dikatakan sebagai dunia tanpa sempadan ekoran globalisasi dan perkembangan teknologi siber dan pengangkutan, namun masih ada beberapa rantau di dunia ini yang dilanda kebuluran dan malnutrisi. Dunia hari ini rancak berbicara soal Green Revolution, Food Security dan Food-Sovereignty.

Kita perlu memahami bahawa Allah S.W.T walaupun Allah S.W.T menciptakan geografi bumi ini tidak sama dari sudut sumbernya, namun Allah S.W.T menciptakan segalanya cukup untuk keperluan semua manusia. Firman Allah S.W.T:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۚ وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

“Adakah mereka membahagikan rahmat Tuhanmu? Kamilah yang membahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini. Kami juga jadikan kedudukan sebahagian mereka lebih tinggi dari sebahagian yang lain supaya mereka saling bekerjasama dalam memakmurkan bumi ini. Rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.”

[az-Zukhruf: 32]

Menurut Imam Qurtubi berkenaan ayat ini, Allah S.W.T menjadikan manusia ada kaya dan miskin supaya masing-masing berhajat antara satu sama lain dalam membina kehidupan. Orang miskin memerlukan sara hidup, orang kaya memerlukan pekerja untuk mengurus harta mereka. Lalu orang kaya mengupah pekerja yang miskin dengan pendapat untuk menyara hidup, supaya melakukan pekerjaan mengurus dan membangunkan harta-harta yang mereka perolehi menjadi lebih makmur.

Pada peringkat yang lebih besar, Allah menjadikan sebahagian kaum memiliki hasil bumi yang subur mengatasi sebahagian kaum yang lain. Hasil bumi juga berbeza dari satu tempat ke satu tempat. Menurut Ibnu Khaldun, perbezaan ini menyumbang kepada perbezaan rupa bentuk dan komposisi fizikal manusia. Kawasan yang kering melahirkan manusia yang memiliki fizikal yang lebih baik daripada kawasan yang lembap. Sunnatullah ini juga adalah satu ekosistem yang mewujudkan kebergantungan antara kaum lalu terhasillah sistem hubungan Antarabangsa dalam masyarakat Madani.

Walau bagaimanapun, tuhan memerintahkan agar hasil bumi ini diuruskan secara adil mengikut syariat Ilahi agar tidak berlaku monopoli di mana kekayaan dunia tidak berlegar di kalangan sebahagian manusia sahaja. Firman Allah S.W.T:

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan cara tidak berperang, maka ia adalah hak Allah, Rasulullah, kaum kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang miskin, serta orang yang terputus bekalan di perjalanan. (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

[Al-Hasyr: 7]

Apabila berlaku gejala kebuluran dan malnutrisi akibat gangguan bekalan makanan, ia menandakan ada perkara yang tidak kena dari sudut sistem pentadbiran dunia ini. Kajian yang dikeluarkan oleh Yale Law School University pada tahun 2010 menunjukkan krisis bekalan makanan yang berlaku pada tahun 2007-2008 bukan kerana pertambahan populasi manusia atau kekurangan pengeluaran makanan. Bahkan sejak 20 tahun lalu, pengeluaran makanan meningkat secara konsisten sebanyak 2 peratus setahun. Bahkan dalam tempoh krisis tersebut, kadar peningkatan populasi manusia menurun daripada 1.2 peratus kepada 1.09 peratus setahun. Tetapi manusia masih tidak mampu membeli makanan menyebabkan kadar kebuluran meningkat daripada 873 juta orang kepada 1.02 bilion manusia.

Isu sebenar adalah manipulasi pasaran oleh para Kapitalis. Dunia yang berkiblatkan tamadun materialistik hanya melahirkan manusia-manusia yang tamak, berlumba-lumba mengejar kekayaan peribadi hingga mengabaikan masyarakat. Ideologi Liberal-Kapitalisme yang dianuti oleh Baratlah yang menyumbang kepada ketidakseimbangan agihan kekayaan di dunia ini, namun negara dunia ketiga yang menjadi ‘lembu susu’ masih lagi kagum dengan Barat dan menjadikan mereka sebagai kiblat ekonomi walaupun negara itulah yang sedang memerah ‘susu’ mereka tanpa sedar.

Pada abad ke-21 ini, masalah bekalan makanan semakin hangat diperbincangkan. Ia bukan sahaja melanda negara-negara yang sememangnya miskin dan tidak memiliki hasil bumi seperti negara-negara di Afrika, tetapi ia turut melanda negara-negara yang kaya dan subur seperti Syria, China, Yaman, Mexico, Singapura, US, Afghanistan dan banyak lagi.

Punca utama adalah kerana kekacauan politik. Namun antara masalah yang dihadapi juga adalah kerana negara yang subur mengabaikan sektor pertanian bagi mengejar sektor perindustrian yang dilihat lebih memberi pulangan hasil yang lumayan. Negara-negara subur ini lebih rela mengimport makanan dari luar bagi mengoptimumkan modal mereka di sektor perindustrian. Mereka lebih rela tanah-tanah mereka didirikan kilang-kilang dan infrastruktur moden berbanding dijadikan ladang pertanian.

Apabila berlaku pertambahan populasi, penularan wabak penyakit, kelembapan ekonomi, ketidakstabilan politik, penawaran terhadap bekalan makanan menjadi terganggu. Negara-negara pengeksport makanan mengehadkan jumlah eksport mereka atas tujuan simpanan. Negara kaya pula mengimport makanan dalam jumlah yang berlebihan. Lalu harga makanan melambung tinggi mengakibatkan sebilangan negara tidak mampu lagi mengeksport makanan untuk keperluan rakyat mereka. Maka terjadilah krisis bekalan makanan seperti yang pernah kita lihat pada tahun 2008, dan kini 2020 akibat wabak COVID-19.

Dalam keadaan gawat ini, negara-negara pengeluar makanan mula memainkan bekalan makanan sebagai alat politik. Negara-negara ini akan menyerang negara jiran dengan bekalan makanan import yang jauh lebih murah sehingga perusahaan makanan mereka gulung tikar. Seterusnya selepas negara jiran itu bergantung penuh dengan bekalan makanan mereka, ia dijadikan alat tawar-menawar (bargaining chip) untuk menuntut berbagai perkara daripada negara jiran. Kedaulatan negara boleh terancam dengan makanan.

Lebih membimbangkan, negara-negara pengeluar makanan utama di dunia adalah negara-negara kuasa besar dunia seperti US, Rusia dan China. Negara umat Islam yang menjadi pengeksport makanan pula boleh dibilang dengan jari walaupun pada hakikatnya menurut Dr Ali Jarisyah dan Syeikh Ali An-Nadawi, negara-negara umat Islam secara keseluruhannya adalah umat yang paling kaya dengan segala hasil bumi.

Kita bimbang situasi ini akan memudahkan Dajal merasuah manusia di akhir zaman ini. Kerana Allah memberikan kelebihan kepadanya dengan sumber-sumber hidup yang pelbagai, manusia sanggup menjual iman mereka demi mendapatkan kepentingan dunia yang ditawarkan oleh beliau, termasuk bekalan makanan. (Rujuk tajuk ayat 2&3: Dajal Tawar Dunia, Kita Pilih Akhirat dan ayat 4: Dajal Akhirnya Mengaku Sebagai Tuhan)

Menjadi keperluan kepada negara umat Islam untuk sedar akan hakikat ini. Negara-negara umat Islam yang kaya terutama dari hasil minyak sepatutnya melaburkan wang mereka ke negara-negara umat Islam lain yang subur untuk menjamin bekalan makanan terhadap semua umat Islam.

Negara Islam juga perlu untuk mempelbagaikan sumber ekonomi (economic diversity). Kebergantungan terhadap sumber minyak semata-mata mengancam kestabilan ekonomi negara-negara pengeluar minyak apabila harga minyak merudum jatuh dewasa ini. Justeru antara komoditi alternatif yang permintaannya sentiasa meningkat adalah makanan. Mengapa tidak dilaburkan kekayaan untuk membangunkan industri pengeluaran makanan pula?

ALANG IBN SHUKRIMUN
2 Ramadhan 1441
25 April 2020 – HARAKAHDAILY 25/4/2020