AMAL Parit Buntar bantu kerja-kerja disinfeksi

PARIT BUNTAR: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Parit Buntar telah membantu usaha menangani penularan pandemik COVID-19 dengan melaksanakan kerja-kerja disinfeksi melibatkan beberapa premis, di sini kelmarin.

Advertisement

Komanden AMAL Parit Buntar, Shafiq Suhaimi berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah Kerian, Dr Prem Kumar A Balakrishnan untuk menjalankan inisiatif tersebut.

Bukan itu sahaja, Shafiq juga memaklumkan pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Pegawai Kesihatan Parit Buntar untuk memastikan alat serta prosedur yang dipraktikkan dalam proses ini berjaya 100 peratus.

Dalam operasi itu, seramai 13 anggota Jabatan Amal Parit Buntar bersama-sama tiga Pegawai Kesihatan Daerah Kerian ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan dan disinfeksi di tahfiz-tahfiz swasta daerah Kerian.

Antara yang terlibat dalam proses ini adalah Pusat Tahfiz Al-Hidayah Parit Buntar, Maahad Tahfiz As Syakirin Bagan Serai, Pusat Tahfiz Al Akhlak Al Islamiah Bagan Serai dan Maahad Tahfiz Ar Ridhwaniah Bagan Serai.

“Kita ada keterbatasan peralatan dari segi teknologi. (Lagipun) sudah tentu usaha ini memerlukan satu gerakan yang besar kerana kawasan ini luas dan terbuka. Alhamdulillah kita terima kerjasama baik daripada pihak Kesihatan Daerah Kerian.

“Dengan melihat kemampuan dan keberkesanan yang di peroleh melalui aktiviti ini, insya-Allah Jabatan Amal (akan) terus membantu (untuk) sama-sama membendung jangkitan wabak COVID-19 ini,” jelas Shafiq.

AMAL Parit Buntar katanya, akan terus komited berkhidmat untuk masyarakat setempat disamping sentiasa memastikan tindakan yang diambil bertepatan dengan garis panduan pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 25/4/2020