Covid-19: Terus patuhi PKP dan KKM

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Takiyudin Hassan minta rakyat terus patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pegawai keselamatan serta kakitangan kesihatan.

Advertisement

Ini kerana kata beliau, kelihatan semakin ramai yang mula berani untuk keluar rumah, terutamanya mereka yang berada di kawasan hijau.

Beliau yang juga Setiausaha Agong PAS mengingatkan rakyat supaya jangan bertindak terburu-buru atau kelak yang kesal diri-sendiri.

“Virus Pandemik Covid-19 masih berleluasa di luar sana. Saya harap semua duduk di rumah dan keluar hanya ada keperluan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan jumlah kes baharu positif hari ini adalah 51 orang, menjadikan keseluruhan kes positif di Malaysia adalah sebanyak 5,742 kes.

Manakala pesakit discaj pada hari ini adalah seramai 99 orang, menjadikan jumlah kes pesakit yang sembuh dan discaj ialah 3,762 kes.

Seramai 36 orang pesakit sedang menerima rawatan di ICU, dan 16 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dukacita dimaklumkan 2 kes kematian baharu dicatat hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian di negara kita adalah 98 kes.- HARAKAHDAILY 25/4/2020