Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 2)

PENGHAYATAN ayat melalui juzuk 2 hari ini memfokuskan betapa pentingnya mengikut arahan yang ditetapkan oleh kepimpinan dalam suasana dilanda pelbagai ujian ataupun wabak yang berpanjangan. Kita mengamati arahan yang telah dikeluarkan oleh Thalut kepada tenteranya supaya jangan sesekali minum air di sungai (antara Palestin dan Jordan) melainkan hanya secedok sahaja di saat mereka dalam kehausan. Arahan tersebut sudah pasti bersebab demi kemaslahatan yang lebih utama bakal dicapai. Peristiwa ini dirakamkan melalui firman Allah S.W.T:

Advertisement

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلۡجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبۡتَلِیكُم بِنَهَرࣲ فَمَن شَرِبَ مِنۡهُ فَلَیۡسَ مِنِّی وَمَن لَّمۡ یَطۡعَمۡهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّیۤ إِلَّا مَنِ ٱغۡتَرَفَ غُرۡفَةَۢ بِیَدِهِۦۚ فَشَرِبُوا۟ مِنۡهُ إِلَّا قَلِیلࣰا مِّنۡهُمۡۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلۡیَوۡمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦۚ قَالَ ٱلَّذِینَ یَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةࣲ قَلِیلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةࣰ كَثِیرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ.

“Kemudian apabila Thalut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia daripada pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia daripada pengikutku, kecuali orang yang mencedok satu cedokan dengan tangannya. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Setelah Thalut bersama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum sepuas-puasnya: Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.”

[al-Baqarah: 249]

Imam Ibnu Kathir menukilkan pendapat Imam Al-Sudiy bahawa tentera Thalut berjumlah 80 ribu orang dan yang meminum air adalah seramai 76 ribu orang, hanya tinggal 4 ribu sahaja yang mengikut arahan. Setengah riwayat menyatakan bilangan yang ikut arahan hanyalah 313 orang sahaja. Mereka yang mengikut arahan menjadi kuat semangat serta keimanannya lalu bertempur bersama Thalut, sementara yang langgar arahan dengan meminum sepuas hati, mereka terdampar di tebing sungai tersebut dan setengah riwayat menyatakan mereka berjaya lewati sungai namun tidak berperang kerana rasa gerun dan takut terhadap musuh serta terasa lemah tenaga.

Kisah ini memberi pengajaran supaya kita bersabar dan patuh sepenuhnya segala arahan kepimpinan. Kita sekarang telah diuji dengan musibah besar yang melanda negara kita. Sudah ramai yang terkena COVID-19 daripada pelbagai kluster. Oleh itu, kepimpinan negara telah mengarahkan supaya seluruh rakyat mematuhi pekeliling serta SOP yang telah dikeluarkan. Jika tempoh PKP ini masih ramai yang melanggar arahan, kita membimbangi kes positif akan bertambah. Di sinilah perlunya seluruh rakyat berganding bahu mengingatkan antara satu sama lain.

Sesungguhnya musibah dan ujian daripada Allah adalah suatu peringatan supaya manusia semakin kembali kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Dengan itu, setiap musibah dan wabak yang terjadi hendaklah kita perbanyakkan zikrullah dan memohon keampunan serta keafiatan daripada Allah jua, firman Allah:

ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَ ٰ⁠جِعُونَ

“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

[al-Baqarah: 156]

Dalam tempoh PKP yang dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei 2020, adalah diharapkan seluruh umat Islam dapat meningkatkan amalan soleh sepanjang Ramadan tahun ini bersama keluarga masing-masing. Sudah tentu terdapat hikmah di sebalik wabak ini dan kehidupan New Normal yang dikecapi ketika ini boleh melatih disiplin diri, pengurusan masa yang baik dan hidup saling bertoleransi. Semoga Allah S.W.T menerima segala amalan baik kita dan tergolong daripada kalangan hamba-Nya yang bertakwa.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
02 Ramadhan 1441 / 25 April 2020 – HARAKAHDAILY 25/4/2020