Kekangan Malaysia hadapi isu pelarian Rohingya

kekangan

MENANGANI isu politik Antarabangsa yang paling merumitkan antaranya ialah menguruskan pelarian yang meminta perlindungan selepas negara mereka musnah sama ada berlakunya peperangan, bencana alam atau faktor politik. Menurut laporan tahunan 2018 UNHCR merekodkan terdapat seramai 25.9 juta pelarian dan 3.5 juta lagi pemohon suaka politik. Pelarian yang terbesar direkodkan oleh pelarian Palestin seramai 5.5 juta orang yang diuruskan oleh UNRWA. [Link 1]

Melihat kepada fenomena ini, faktor peningkatan jumlah pelarian dan pemohon suaka politik yang utama ialah faktor peperangan disusuli dengan faktor politik dan ketiga ialah faktor bencana alam. Dalam menganalisis situasi ini menurut perspektif Malaysia, negara kita dikekangi dengan tiga perkara utama; Pertama, Isu diplomasi dan hubungan bilateral. Kedua, faktor perundangan dan ketiga, faktor keselamatan.

Advertisement

Pertama: Isu diplomasi dan hubungan bilateral.

Untuk makluman semua, Malaysia merupakan negara ahli dalam Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) yang antara tujuan asas penubuhannya adalah untuk tidak mencampuri urusan dalaman sesebuah negara yang berdaulat.

Dalam isu Rohingya ini, Malaysia sebagai negara ahli dalam Pertubuhan ASEAN, adalah negara yang paling aktif secara diplomasi dalam menyuarakan pandangan dan solusi bagi menangani krisis pelarian Rohingya. Untuk rekod, Malaysia mula menyuarakan isu Rohingya ini sejak tahun 1980 lagi apabila tercetusnya Operasi Naga Min yang memaksa lebih 200,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman Tentera Burma pada tahun 1978-1980. [Link 2: Andrew Smith, 2018]

Untuk rekod juga, Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bermula pada 1 Mac 1957 [Link 3]. Namun hubungan diplomatik Malaysia-Myanmar agak sedikit tegang apabila melibatkan isu Rohingya. Kemuncak ketegangan hubungan diplomatik Malaysia-Myanmar semasa era kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Pada tahun 2016, dilaporkan oleh Shahnon Teoh, Malaysia mengadakan aksi unjuk-rasa aman bagi membantah kekejaman Tentera Myanmar ke atas penduduk Rohingya di Stadium tertutup Titiwangsa bagi menggesa Junta Tentera Myanmar menghentikan operasi pembersihan etnik Rohingya [Link 4], namun reaksi Kerajaan Junta Myanmar membalas dengan kecaman oleh seorang sami Buddha berpengaruh, Sayadaw U Pamaukkha yang menggesa Kerajaan Malaysia mengambil sepenuhnya penduduk Rohingya menetap di negara Malaysia. [Link 5]. Kerajaan Junta juga mengemukakan bantahan kepada Malaysia agar tidak mencampuri urusan dalaman negara itu seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Direktor Jeneral kepada Presiden Myanmar, U Zaw Htay pada 2 Disember 2016. [Link 6]. Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Junta juga mengancam untuk menggantung penghantaran pekerja asing negara itu ke Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan Malaysia seperti dilaporkan oleh Media Xinhua. [Link 7]. Aksi unjuk-rasa bagi membantah kenyataan Malaysia berlaku secara berterusan di ibu kota negara itu menambahkan lagi ketegangan diplomatik kedua buah negara. [Link 8].

Kekeruhan hubungan diplomatik Malaysia-Myanmar semakin memuncak pada 5 Mei 2017 apabila Kerajaan Junta masih mengekalkan penggantungan penghantaran pekerja asing negara itu ke Malaysia selagi Malaysia tidak menyatakan pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara itu seperti dinyatakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Buruh, Imigrasi dan Populasi Myanmar, U Myo Aung. [Link 9]. Tindakan U Myo Aung ini seolah-olah mencetuskan situasi tidak aman kepada Malaysia untuk rakyatnya berkerja di negara ini.

Untuk rekod secara diplomatik, usaha Malaysia dalam mengekang krisis pelarian Rohingya ini telah dinyatakan dengan tegas di pentas Antarabangsa khasnya semasa era kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Mohd Najib seperti gesaan Tun Dr Mahathir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) [Link 10] dan gesaan Dato’ Seri Mohd Najib semasa persidangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) [Link 11] serta di Mesyuarat Agung Luar Biasa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) [Link 12].

Hal ini membuktikan, Malaysia tidak berlepas tangan dalam menangani krisis kemanusiaan Rohingya bahkan Malaysia juga memberikan beberapa solusi bagi menangani isu ini secara diplomasi [Link 13]. Cuma dalam konteks menjaga hubungan bilateral Malaysia-Myanmar juga diambil kira memandangkan negara itu merupakan antara negara penyumbang tenaga buruh di Malaysia bagi merancakkan pertumbuhan sektor pembinaan dan industri perkilangan. Lantaran itu, bagi meredakan ketegangan diplomatik kedua buah negara, Malaysia telah menghantar Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral TS Zulkifeli Mohd Zin bertemu dengan rakan sejawatannya Senior General Min Aung Hlaing bagi membincangkan langkah keselamatan dalam menangani krisis Rohingya. [Link 14].

Kedua: Faktor perundangan

Kekangan Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya ini juga terbatas dengan adanya Konvensyen PBB bagi Pelarian 1951 atau lebih dikenali sebagai Protokol 1967. Setakat ini cuma 145 buah negara ahli PBB daripada 195 buah negara yang menganggotai PBB yang meratifikasikan konvensyen ini. [Link 15].

Menurut Bekas Menteri di JPM, DS Shahidan Kassim seperti dilaporkan di dalam Astro Awani pada 4 April 2017, Malaysia belum mampu beri hak istimewa kepada pelarian Rohingya disebabkan keterikatan sesebuah negara yang meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 mestilah memenuhi hak-hak sebagaimana dinikmati oleh warganegara seperti akses berkerja, kemudahan hospital Kerajaan dan klinik kesihatan percuma, akses pendidikan di sekolah Kerajaan dan sebagainya kepada pelarian [Link 16], justifikasi ini juga menggambarkan ketidakadilan akan berlaku kepada rakyat tempatan sedangkan dalam pada masa yang sama, masih ada rakyat Malaysia yang belum menikmati keistimewaan kepada akses-akses berkenaan. Signifikan kenyataan DS Shahidan ini juga memberi signifikan kepada perkara yang melibatkan kekangan kewangan negara jika memenuhi hak-hak pelarian yang termaktub dalam konvensyen tersebut.

Oleh itu, ada sebab munasabah bagi Malaysia yang sehingga kini tidak menandatangani atau meratifikasikan semua protokol dalam konvensyen tersebut walaupun terdapat desakan di kalangan Organisasi Sivil bagi mempertahankan hak pelarian Rohingya [Link 17].

Ketiga: Faktor keselamatan

Sebagai informasi tambahan, Malaysia merupakan negara ahli di bawah The United Nations Convention against Transnational Organized Crime (UNTOC). Tujuan diadakan UNTOC adalah sebagaimana yang termaktub di dalam protokol konvensyen tersebut iaitu “the Protocol to Prevent, Suppress and Punish Trafficking in Persons, Especially Women and Children; the Protocol against the Smuggling of Migrants by Land, Sea and Air; and the Protocol against the Illicit Manufacturing of and Trafficking in Firearms, their Parts and Components and Ammunition”. [Link 18]

Berdasarkan kepada protokol UNTOC inilah, Malaysia mengalami dilema yang kritikal apabila Malaysia telah dikenalpasti menjadi negara transit dalam aksi jenayah pemerdagangan manusia khasnya yang melibatkan pelarian Rohingya. Untuk rekod, Jabatan Negara, Kerajaan Amerika Syarikat telah menurun taraf Malaysia kepada Pemerhatian Tingkat 2 menurut Trafficking in Persons Report 2018 yang diterbitkan oleh jabatan tersebut. [Link 19]

Kekangan Malaysia dalam menangani isu ini kerana faktor geografi Malaysia yang terdedah dan terbuka sekali gus memberi peluang kepada penyeludup untuk membawa masuk pelarian Rohingya ke Malaysia. Untuk rekod dari tahun 2015 sehingga 2018, sebanyak 558 kes penyeludupan manusia telah disiasat oleh PDRM. Bahkan 70 peratus daripada kes ini dilaporkan melibatkan pemerdagangan etnik Rohingya. Negara ini pernah digegarkan dengan penemuan kubur besar yang menempatkan jenazah pelarian Rohingya di hutan belantara Wang Kelian Perlis yang pertama kalinya dilaporkan oleh Malay Mail pada 27 Mei 2015 yang bertajuk Mass graves in Perlis: Victims may have been tortured and killed yang membawa kepada penubuhan RCI bagi menyiasat isu ini. [Link 20]

Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak kes jenayah yang melibat pelarian Rohingya, menurut penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar menjelaskan kebanjiran golongan berkenaan di negara ini akan menyebabkan berlakunya pertembungan budaya selain penyumbang kepada peningkatan kegiatan jenayah. Jenayah membalas dendam antara aksi jenayah yang sering dilakukan oleh etnik ini [Link 21]. Walaupun tidak terdapat statistik rasmi jumlah aksi jenayah yang dilakukan oleh pelarian Rohingya di negara ini, dari segi ancaman terhadap keselamatan negara, tiada data khusus mengenai rekod jenayah yang dibuat etnik Rohingya. Pihak PDRM hanya merekodkan kes jenayah dilakukan warga negara asing mengikut negara asal dan bukannya mengikut etnik seperti yang dijelaskan oleh Mantan Menteri di JPM, DS Shahidan Kassim [Link 22].

Malaysia telah mengambil iktibar daripada sejarah lampau yang melibatkan jenayah oleh pelarian seperti yang berlaku di Pulau Bidong, Terengganu pada tahun 1976 yang melibatkan persengketaan pelarian Vietnam dengan penduduk tempatan. [Link 23].

Untuk rekod juga, Ketua Polis Negara, Hamid Bador menjelaskan jenayah rentas sempadan dan migrasi Rohingya ini tidak akan selesai selagi dalang utama tidak ditangkap dan pihak PDRM akan mengambil tindakan terhadap sindiket yang tidak bertanggungjawab termasuklah dengan tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom). [Link 24]

Kesimpulan;

Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari aspek politik dan pembangunan ekonomi, menjadi impian para migrasi untuk berhijrah ke negara ini ditambah lagi dengan nilai kemanusiaan yang tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia menambahkan lagi persepsi bahawa Malaysia sebuah negara yang kaya dan mampu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada pelarian. Namun di sisi lainnya, Malaysia juga terbeban dengan pelbagai isu dalaman sementelah dengan cabaran mendepani wabak COVID-19 memberikan signifikan bahawa Malaysia sebenarnya ‘berjiwa besar’ tetapi ada kekangan yang harus dilalui dan dipikul di pundak bahu para pemimpin negara ini. Kepada Allah, kita berserah diri.

NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN
Penyelidik Ph.D (Sejarah Politik Malaysia)
Di salah sebuah universiti awam tempatan.

Rujukan lanjut;

Link 1 : Global Trend, UNHCR Annual Report 2018.
https://www.unhcr.org/5d08d7ee7.pdf

Link 2 : Andrew Smith (2018). Myanmar’s Armed Forces and The Rohingya Crisis, hal.12,
https://www.usip.org/sites/default/files/2018-08/pw140-myanmars-armed-forces-and-the-rohingya-crisis.pdf

Link 3: Mynamar-Malaysia Bilateral Relationship History.
https://web.archive.org/web/20131108055911/http://myanmarembassy-kl.org/?p=313

Link 4: Shahnon Teoh (2016). Mass rally in Malaysia calling for support of Myanmar’s Rohingya Muslims.
https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/mass-rally-in-malaysia-calling-for-support-of-myanmars-rohingya-muslims

Link 5: Buddhist monks lead a protest against Najib in Yangon (2016).
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/12/05/buddhist-monks-lead-protest-against-najib-in-yangon/

Link 6: U Zaw Htay (2016). Myanmar tells Malaysia not to interfere in internal issues.
https://www.mmtimes.com/national-news/24018-myanmar-tells-malaysia-not-to-interfere-in-internal-issues.html

Link 7: Xinhua (2016). Myanmar suspends sending migrant workers to Malaysia.
http://www.globaltimes.cn/content/1022339.shtml

Link 8: Ye Mon (2016). Dueling protests as tensions rise between Myanmar and Malaysia.
https://www.mmtimes.com/national-news/24035-duelling-protests-as-tensions-rise.html

Link 9: U Myo Aung (2017). No, go yet to Malaysia for Myanmar workers.
https://www.mmtimes.com/national-news/25860-no-go-yet-to-malaysia-for-myanmar-workers.html

Link 10: Joseph Raj (2019). At UN, Dr M blasts international community over continued inaction on Rohingya crisis.
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/09/25/at-un-dr-m-blasts-un-over-continued-inaction-on-rohingya-crisis/1793964

Link 11: Hani Shamira (2017). PM Najib has shifted global opinion on Rohingya,
https://www.nst.com.my/news/nation/2017/11/307611/pm-najib-has-shifted-global-opinion-rohingya

Link 12: [Speech text] PM Najib at Extraordinary OIC session on Rohingya situation,
https://www.nst.com.my/news/2017/01/205439/speech-text-pm-najib-extraordinary-oic-session-rohingya-situation

Link 13: Isu Rohingya: Malaysia kemuka cadangan penting kepada Myanmar – Anifah Aman.
http://www.astroawani.com/berita-dunia/isu-rohingya-malaysia-kemuka-cadangan-penting-kepada-myanmar-anifah-126164

Link 14: Ye Mon (2016). President, military chiefs meet to smooth Myanmar-Malaysia ties.
https://www.mmtimes.com/national-news/nay-pyi-taw/24063-president-military-chiefs-meet-to-smooth-myanmar-malaysia-ties.html

Link 15: The 1951 Refugee Convention.
https://www.unhcr.org/3b66c2aa10

Link 16: Wan Syamsul Amly (2017). Malaysia belum mampu beri hak istimewa kepada pelarian Rohingya.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-belum-mampu-beri-hak-istimewa-kepada-pelarian-rohingya-137986

Link 17: Meor Riduwan Meor Ahmad dan Manirajan Ramasamy (2018). Syor kerajaan ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951,
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/478081/syor-kerajaan-ratifikasi-konvensyen-pelarian-1951.
Lihat juga Kenyataan Media SUHAKAM bertarikh 20 Jun 2015,
http://www.suhakam.org.my/wp-content/uploads/2015/06/Siaran-Media-20-Jun-2015.pdf

Link 18: Penyeludupan Migran: Dilemma Malaysia.
http://www.ilkap.gov.my/download/kertaspenyelidikan/Research17.pdf

Link 19: Trafficking in Persons Report 2018.
https://my.usembassy.gov/ms/our-relationship-ms/laporan-rasmi/report-trafficking-in-persons-062918-ms/

Link 20: Mass graves in Perlis: Victims may have been tortured and killed.
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2015/05/26/mass-graves-in-perlis-victims-may-have-been-tortured-and-killed/903635

Link 21: Boleh tingkat kadar jenayah.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2015/05/51015/boleh-tingkat-kadar-jenayah

Link 22: Shahidan Kassim (2017). Hampir semua jenayah warga asing melibatkan orang Myanmar.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/13/hampir-semua-jenayah-warga-asing-melibatkan-orang-myanmar/

Link 23: Mohd Faizal Zulkifly (2017), Pulau Bidong : Sejarah Pelarian Vietnam yang dilupakan.
https://iluminasi.com/bm/pulau-bidong-sejarah-pelarian-vietnam-yang-dilupakan.html

Link 24: Mohd Afham Ramli (2020). Rohingya: Ramai pelarian dijangka dibawa masuk sindiket.
https://www.sinarharian.com.my/article/68156/BERITA/Jenayah/Rohingya-Ramai-pelarian-dijangka-dibawa-masuk-sindiketHARAKAHDAILY 25/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.