Malaysia berjaya kekalkan status sifar Malaria

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) sejak tahun 2018.

Advertisement

Malah kejayaan ini perlu dikekalkan untuk tiga tahun berturut-turut bagi melayakkan Malaysia mendapatkan Pensijilan Eliminasi Malaria manusia jangkitan tempatan daripada World Health Organisation (WHO) pada tahun depan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, status berkenaan telah berjaya dikekalkan sepanjang tahun 2019 dan terkini setakat tempoh Januari hingga 18 April 2020.

“Walaupun Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) sejak 2018, namun malaria zoonotik yang berpunca dari monyet dan kes malaria import dari negara luar masih dilaporkan di negara ini.

“Pada tahun 2019, sebanyak 3,941 kes malaria daripada pelbagai punca telah dilaporkan.

“Di mana daripada jumlah tersebut, 3,223 (81.8%) kes adalah malaria zoonotik, 620 (15.7%) kes adalah malaria import dan 98 (2.5%) kes adalah daripada lain-lain punca jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ujarnya, pada tahun 2019, sebanyak enam kematian dilaporkan di mana kesemuanya melibatkan jangkitan kes malaria zoonotik daripada spesis Plasmodium Knowlesi.

Noor Hisham berkata demikian sempena sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan yang disambut setiap tahun pada 25 April.

Tambahnya, meskipun Malaysia sedang memerangi pandemik Covid-19 namun kawalan penyakit malaria tetap tidak terkecuali dengan melalui beberapa tindakan kritikal sebagai pencegahan.

Kata Noor Hisham, inovasi pencegahan malaria semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwujudkan melalui modifikasi tindakan kritikal di lapangan.

Jelasnya, ia bertujuan sebagai pencegahan jangkitan malaria di komuniti dan pada masa yang sama bagi memastikan anggota kesihatan sentiasa terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“Modifikasi kaedah kawalan vektor (nyamuk pembawa malaria) juga dilaksanakan dengan mengedarkan kelambu berubat dari rumah ke rumah bagi mengelakkan perhimpunan di dalam komuniti dan mengekalkan penjarakan sosial.

“Di samping itu, KKM juga memastikan bekalan peralatan untuk diagnosa dan ubat-ubatan malaria tidak terjejas. Saringan malaria di kalangan kumpulan berisiko juga masih diteruskan.

“Sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia tahun 2020, KKM berharap penglibatan komuniti dan agensi lain dalam pencegahan penyakit malaria dapat dipertingkatkan,” tambah Noor Hisham.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil katanya, memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk (mosquito repellent).

Langkah ini juga disarankan kepada syarikat perladangan dengan melaksanakan aktiviti pencegahan malaria seperti semburan racun residual dan memastikan pekerja ladang memakai pakaian terlindung daripada gigitan nyamuk.

Selain itu disarankan supaya elakkan berada di luar rumah pada waktu malam.

Sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan, beliau menasihatkan orang awam segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran. – HARAKAHDAILY 25/4/2020