Ramadan: Apakah maksud syaitan dibelenggu?

SETIAP kali tibanya Ramadan, umat Islam dimotivasikan untuk tekun beribadat. Selain dari ganjaran pahala yang berganda, syaitan yang sering menghasut manusia ke arah kejahatan dibelenggu oleh Allah. Sabda Nabi:

Advertisement

إِذا جَاءَ رَمَضَانُ، فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجنَّةِ، وغُلِّقَت أَبْوَابُ النَّارِ، وصُفِّدتِ الشياطِينُ

“Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga serta ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

(Muttafaq Alaih)

Syaitan yang mana satu?

Al-Quran telah menjelaskan bahawa syaitan terbahagi kepada spesis jin dan manusia. Antara makna syaitan, adalah karakter perosak dan pemberontak terhadap ketetapan tuhan. Firman Allah:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ

“Demikian Kami jadikan bagi setiap Nabi itu ada musuh berupa syaitan dari manusia dan jin.”

(Al-An’am: 112)

Syaitan yang terbelenggu berdasarkan hadis di atas, adalah syaitan dalam kalangan jin. Adapun syaitan jenis manusia, masih bebas berkeliaran sekalipun pada bulan Ramadan.

Hikmah syaitan dibelenggu

Apabila syaitan dibelenggu, senario tersebut dapat merehatkan fikiran manusia dari terus bertempur dengan hasutan makhluk terlaknat itu. Suasana sedemikian akan mewujudkan motivasi untuk kita ringan menggandakan amal ketaatan.

Dalam erti kata lain, atmosfera Ramadan dapat meringankan jiwa orang-orang beriman untuk melangsungkan ibadat. Terpulang kepada kehendak diri sendiri sahaja.

Batas pengaruh syaitan

Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Maidani merumuskan bahawa syaitan jin tidak memiliki kuasa untuk mengawal manusia sepenuhnya. Sebaliknya hakikat keupayaan syaitan ke atas manusia hanyalah:

(i) Mendorong manusia yang terlebih dahulu cenderung dengan aspirasi syaitan. Bermaksud, agenda syaitan itu hanya berjaya jika manusia bekerjasama dan membiarkannya menjadi dominan dalam fikiran serta perbuatan.

(ii) Menyuntik keraguan dalam daya pertimbangan manusia. Keraguan yang dimaksudkan adalah tidak yakin dengan hakikat kebaikan, serta menghiasi kejahatan agar diperlihatkan seakan-akan benar dan baik.

(iii) Berusaha untuk mengeluarkan manusia dari fitrah asal mereka yang sentiasa mahukan kebaikan. Logiknya, sejahat-jahat manusia pun ingin diperlakukan dengan baik. Ia sebagai bukti bahawa fitrah manusia sememangnya mengerti, kebaikan itu adalah kebaikan.

Pertempuran jati diri

Ketika Iblis berikrar mahu merosakkan manusia, dia mengakui bahawa jati diri orang-orang beriman menyukarkan agendanya menghasut mereka. Firman Allah:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

“(Semua akan terdedah dihasut) kecuali dalam kalangan hamba-hambaMu yang terpilih.”

(Sad: 83)

Golongan yang terpilih itu menurut Imam al-Tabari, ialah mereka yang memiliki kualiti ketekunan yang tinggi dalam melakukan ibadat. Sekali gus tidak menjadikan syaitan sebagai pemandu kepada jalan hidupnya.

Apa yang dibimbangkan adalah, kita tetap terbiasa melakukan dosa kejahatan walaupun di bulan Ramadan. Kejahatan yang telah sebati mendarah daging itulah, yang merisaukan kita. Persoalannya adalah, syaitan spesis jin telah pun dibelenggu, tinggal spesis manusia sahaja yang masih lagi bebas. Semoga kita dilindungi.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 25/4/2020