Sahur: Membezakan puasa orang Islam dan ahli kitab

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم:
((تسحَّروا؛ فإن في السُّحورِ بركةً))؛ متفق عليه

“Daripada Anas bin Malik R.A berkata, telah bersabda Nabi S.A.W: “Bersahurlah kerana pada sahur itu memiliki keberkatan.””

(Hadith Muttafaqun Alaih)

Advertisement

Faedah satu:

Sahur sebagaimana yang dimaklumi adalah perbuatan makan atau minum pada waktunya dengan niat untuk berpuasa. Bermula daripada tengah malam hingga sebelum masuknya waktu fardhu Subuh sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Hajar. Sunnah waktu sahur adalah dilewatkan yang mendekati masuknya waktu solat fardhu Subuh. Pada zaman Nabi S.A.W, jika mereka mendengar suara Bilal R.A melaungkan azan, itu petanda masih boleh bersahur hinggalah mereka mendengar laungan azan Abdullah ibnu Ummi Maktum. Adapun hari ini, telah pun dimudahkan melalui jadual waktu Imsak dan waktu Subuh. Hikmah paling besar melewatkan sahur adalah dapat solat fardhu Subuh berjemaah di awal waktu.

Faedah dua:

Galakan untuk bersahur (sunnah muakkadah) sunnah yang sangat dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam kerana ia membezakan puasa orang Islam dengan puasa Ahli Kitab.

Sabda Nabi S.A.W:

“Yang membezakan antara puasa kita (orang Islam) dengan puasa ahli Kitab adalah pada memakan sahur.”

(Hadis Riwayat Muslim: 1096)

Sebaiknya orang Islam tidak meninggalkan sahur, walaupun hanya dengan meminum air atau memakan sebiji tamar. Bahkan ia merupakan sebaik-baik menu sahur. Sabda Nabi S.A.W:

“Senikmat-nikmat sahur bagi orang Mukmin adalah dengan memakan tamar.”

(Hadis Riwayat Abu Daud: 2345)

Yang penting, bangun dan mengisi perut dengan apa jua menu yang ada di rumah walau seteguk air pasti ada kebaikannya.

Faedah tiga:

Keberkatan sahur itu terbahagi kepada dua kebaikan:

(1) Kebaikan dalam menurut perintah agama dan mencontohi Baginda S.A.W, mengikuti sunnah dan beroleh pahala. Ia juga menjadi sebab untuk orang beriman melazimi berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang termasuk juga dalam waktu yang mustajab berdoa.

(2) Kebaikan pada tubuh badan yang menguatkan daya tahan seseorang untuk berpuasa hingga berbuka, menambah produktivitinya, serta mengelakkan badan daripada kelesuan yang disebabkan kelaparan. Ia juga boleh menghalang kita sakit kepala yang disebabkan kadar gula dalam darah menurun. Perlu diingatkan juga, orang yang melazimi sahur biasanya akan terhindar dari kemalasan beribadat sama ada membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain, begitu juga bermalasan dalam melakukan aktiviti rutin dengan alasan tak bangun sahur.

Jadi, jangan tinggal ibadah sahur ya! Sahur apa pagi tadi ?

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
25 April 2020 – HARAKAHDAILY 25/4/2020