Sidang Parlimen: Jawapan kepada kritikan PH

PEJABAT ini merujuk kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan bertarikh 23 April 2020 berkaitan Sidang Parlimen yang ditetapkan pada 18 Mei 2020. Kerajaan mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan yang disuarakan, namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara.

Keputusan kerajaan adalah berdasarkan keadaan dan perkembangan semasa, khususnya yang melibatkan usaha mengawal dan menamatkan ancaman wabak Covid-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani
kesan-kesan jangka pendeknya.

Keputusan kerajaan juga adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira keperluan, pandangan serta sentimen semua pihak sama ada yang dijana secara rasmi dan langsung, maupun secara tidak rasmi dan
tidak langsung.

Advertisement

Dalam konteks sidang Parlimen akan datang, bagi kerajaan isu paling utama adalah keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan.

Pada saat kita telah hampir berjaya dalam usaha menangani Covid-19 dengan cara dan pendekatan kita sendiri, kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko sebaliknya, terutama sekali apabila ia didasarkan kepada pertimbangan serta keputusan negara lain yang tidaklah lebih baik kedudukan mereka dalam konteks mendepani wabak itu.

Kerajaan percaya dalam keadaan hari ini, kita bukanlah berdepan pertandingan siapakah yang lebih popular, tetapi keutamaannya ialah siapakah yang lebih berkesan.

Kerajaan akan terus dipandu oleh nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pakar berkaitan khususnya bagi menjamin keputusan dan tindaktanduknya adalah berdasarkan fakta dan pertimbangan sahih untuk manfaat
dan keselamatan semua pihak.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang)
25 April 2020 – HARAKAHDAILY 25/4/2020