100 keluarga miskin terima lauk pauk buka puasa

KUALA NERUS: Selain dari barangan keperluan asas harian yang disumbangkan kepada rakyat yang terkesan akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 100 warga miskin Kuala Nerus turut menerima agihan berupa lauk berbuka puasa setiap hari.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pusat Khidmat Ahli Parlimen akan mengagihkan lauk-pauk untuk berbuka puasa kepada lebih 100 keluarga miskin.

Advertisement

Katanya, agihan itu melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara bergilir dalam Parlimen Kuala Nerus sejak awal Ramadan lagi.

“Pada Ramadan pertama, agihan adalah kepada 105 keluarga kurang berkemampuan dari tiga buah kampung iaitu Kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda dan Paya Datu dalam Dun Buloh Gading.

“Sumbangan lauk-pauk itu akan diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing mengikut kampung,” ujarnya dalam lontaran di facebook Khairuddin Aman Razali.

Menurut beliau, melahirkan rasa belas ehsan terutama kepada golongan miskin, susah yang terkesan dengan PKP akibat penularan wabak Covid-19.

Justeru, Dato’ Dr Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti berharap, agar sumbangan seperti itu dapat menambah kenikmatan Ramadan dan memberi kegembiraan buat keluarga penerimanya.

Mengikut statistik Covid-19 di Terengganu pada 26 April lalu, lima daerah telah kembali kepada Zon Hijau iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kemaman, dengan jumlah 110 kes di seluruh negeri.- HARAKAHDAILY 27/4/2020