PKP: Hasil tani dibeli elak petani terjejas

Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mengagihkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ekoran PKP.

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memastikan tiada petani dan penternak terjejas teruk bagi memasarkan produk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi mengatasi masalah lambakan hasil pertanian.

Katanya sebanyak RM100,000 daripada jumlah itu disediakan untuk sektor penternakan, dan masing-masing RM50,000 sektor pertanian dan perikanan.

Advertisement

“Sebelum ini diviral ada pengusaha sayur-sayuran di Lojing yang membuang hasil pertanian mereka kerana tiada pasaran.

“Setelah mendapat maklumat agensi pertanian pergi ke Lojing bagi membeli sayur-sayuran yang dihasilkan pada harga lantai.

“Sayur-sayuran yang masih berkualiti akan dijualkan di pasar, manakala selebihnya akan diagih kepada orang ramai melalui Pusat Khidmat DUN,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat bersama agensi-agensi pertanian di Kota Darul Naim bagi mengatasi masalah lambakan hasil ekoran PKP.

Beliau juga berkata, pekebun sayur, petani dan penternak hendaklah memaklumkan kepada agensi berkaitan bagi membolehkan lambakan hasil pertanian dibeli Perbadanan Pertanian Kelantan.

Menurutnya juga Perbadanan Pertanian mempunyai bilik sejuk bersaiz agak besar di Pengkalan Chepa bagi menyimpan sementara produk pertanian yang dibeli pasaran.- HARAKAHDAILY 27/4/2020