Ustaz Marzuk serah bantuan ke institusi pondok

KUALA LUMPUR: Ramadan mentakdirkan kesempatan berharga buat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary untuk turun padang ke institusi-institusi pendidikan Islam.

Advertisement

Secara khusus, lawatan beliau itu adalah untuk menyerahkan sumbangan bantuan kerajaan dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM21 juta diberi secara ‘one-off’ kepada tahfiz, madrasah dan pondok seluruh negara.

Sebanyak RM10,000 telah diserahkan Ustaz Marzuk kepada Musyrif Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian, Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman diiringi Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman di Kuala Krai, 23 April lalu.

Manakala sejumlah sama juga telah disampaikan dalam satu majlis ringkas dengan penerimaan oleh wakil pentadbiran Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Deeniah, Pondok Lubok Tapah di Pasir Mas, kelmarin.

Peruntukan Bajet 2020 menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu telah terdahulu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 2 April lalu.

Ianya bertujuan bagi membiayai penyelenggaraan dan menaiktaraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama yang berdaftar dengan pihak berwajib. – HARAKAHDAILY 27/4/2020