Covid-19: Hampir penghujung, fasa ketiga menampak sinar

HARI ini berakhirnya fasa ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia memberi makna bahawa kita sudah ‘dijeruk’ selama 6 minggu untuk menjalani normal baharu dalam kehidupan. Normal baharu yang mengubah rantaian kehidupan biasa menjadi manusia yang lebih jitu.

Tidak sedikit pengorbanan yang terpaksa kita tanggung. Paling mengesankan tentulah menghirup bulan Ramadan yang sangat lain daripada kebiasaan. Namun, pengorbanan ini ternyata memberi impak yang sangat baik kepada kita semua.

Advertisement

Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Anda menunjukkan kepada dunia bahawa kita adalah bangsa yang sangat mengujakan. Anda bisa mengharungi kepayahan ini untuk bersama melawan kesulitan yang akhirnya #kitamenang, in sya Allah. Sepertimana beluncas yang akhirnya mampu mempunyai sayap yang cantik dan berterbangan bebas di udara

Juga tidak ketinggalan jerih dan perih para pemuka hadapan kita. Doktor, jururawat, petugas kesihatan, polis, askar, rela dan yang tak tersebut namanya di sini. Anda semua adalah wira-wira yang pastinya bakal mendapat ganjaran pahala yang berganda daripada Allah SWT sebagai balasannya.

Kesembuhan hampir 70 peratus dan penurunan kes baharu yang sangat mendadak. Kelantan sendiri hanya tinggal 1 kes tanpa tambahan baharu. Semua tanda-tanda ini janganlah dijadikan peluang dan lesen untuk kita bebas. Kita hanya perlu sedikit kesabaran sahaja lagi untuk benar-benar bebas.

“Oleh itu, maka bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”. [Asy-syarh 5-6].

Siapapun yang sabar dan tekun akan mekar seperti bunga, akan indah seperti purnama dan menakjubkan seperti kupu-kupu.

PKP fasa ke-4 akan bermula 29 April sehingga 12 Mei. Seperti anda semua, saya juga mengharapkan ia adalah fasa terakhir untuk semua. Marilah sama-sama kita berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini agar pandemik ini menemui ajalnya.

Percayalah, semakin panjang malam ia bermakna semakin dekat siang untuk kita semua. Sinar sang suria pasti menjelma. In sya Allah.

USTAZ ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
5 Ramadhan 1441/ 28 April 2020- HARAKAHDAILY 28/4/2020