Dua pemimpin mengaku bersalah, bukti PN kerajaan adil

Dato' Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Kerajaan Perak, Razman Zakaria tiba di Mahkamah Majistret Gerik. Sumber foto: Malaymail

KUALA LUMPUR: Dua orang pimpinan kerajaan yang mengaku bersalah dan bersedia dihadapkan di Mahkamah membuktikan bahawa inilah cerminan sebuah kerajaan yang adil diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Di atas keberanian dan sikap tanggungjawab pimpinan tersebut, PAS Perak mengucapkan tahniah dan syabas kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Dr Nor Azmi Ghazali dan Exco kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria kerana mengaku bersalah.

Keduanya mengaku bersalah kerana telah melanggar Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlaku di Maahad Tahfiz, Lenggong tempoh hari.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, sikap kedua-dua pemimpin yang bersedia dihadapkan di mahkamah dan mengaku bersalah sangat terpuji.

Malahan katanya mereka turut merendah diri meminta maaf pada rakyat atas kealpaan sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Beliau berkata, hikmah disebalik isu ini, semua pemimpin akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas kerana rakyat sentiasa memerhati tindak tanduk pemimpin.

Tambah beliau, apatah lagi ada pihak lain yang mencemburui PN pasti akan mencari apa sahaja kesilapan untuk dibesar-besarkan seolah-olah isu itu melibatkan jenayah, pengkhianatan terhadap negara, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan penuh ketelusan tanpa memilih sesiapa yang didakwa.

“Inilah cerminan sebuah Kerajaan yang adil diterajui oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Harakahdaily.- HARAKAHDAILY 28/4/2020