Malaysia mempunyai banyak sumber dan kepakaran

KUALA TERENGGANU: Malaysia amnya dan Terengganu secara khusus semakin baik dan menunjukkan negara ini mempunyai keupayaan keluar dari pandemik, yang telah meragut ratusan ribu nyawa manusia dan jutaan lagi dijangkiti Covid-19 seluruh dunia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim yakin, Malaysia mempunyai banyak sumber dan kepakaran bagi menghasilkan produk-produk keselamatan.

Katanya, apabila berlaku penularan wabak ‘coronavirus’ atau Covid-19, banyak keperluan yang boleh dihasilkan sendiri seperti PPE (Pakaian Pelindungan Diri), sarung tangan, Sanitizer dan ‘face mask’ (pentup hidung dan mulut).

“Face Mask ini, saya ada bincang dengan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid dan dia beritahu bekalan yang ada dalam negara sekarang ini sangat kuat (cukup).

Advertisement

“Jika boleh kita tidak mahu lagi selepas ini bergantung kepada produk luar seperti China. Ada cadangan supaya jika boleh dapat dibuka kilang sendiri di Malaysia.

“Insya’Allah, kita ada kepakaran dan saya percaya Malaysia mempunyai banyak sumber dan kepakaran yang diperlukan itu,” ujarnya dalam satu ucapan ringkas kepada petugas sukarelawan ketika melawat pusat jahitan PPE di Kolej Komuniti Kuala Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan Covid-19, kata Amzad bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini berjaya mengawal pandemik daripada terus merebak seluruh negara.

Malah, katanya Terengganu semakin baik kawalan penularan Covid-19 dan telah memasuki peringkat ‘Zon Hijau’ yang selamat di lima buah daerah.

“Alhamdulillah, di Terengganu sendiri pun telah membawa kesan yang sangat baik, terkawal dan telah memasuki Zon Hijau. Ini termasuk daerah Kuala Terengganu sendiri.

“Sekurang-kurangnya dua minggu tiada kes baharu, baru boleh masuk Zon Hijau. Kita harap sama-sama jadikan negeri Terengganu ini paling selamatlah daripada wabak Covid-19.

“Kadar jangkitan positif Covid-19 dalam negara hari ini pun angkanya semakin mengecil. Insya’Allah, kita lihat kerajaan PN hari ini sedang berusaha keras dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menyifatkan kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia akibat PKP itu menjadi sejarah negara sejak merdeka.

“Ini (suasana) menjadi sejarah negara sejak merdeka, kita mengalami masalah seumpama ini iaitu PKP. Semua orang kena duduk ‘berkurung’ dalam rumah masing-masing.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan dan rakyat umumnya, atas usaha yang dilakukan oleh pihak Haluan (Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia) dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu.

“Semua mereka yang terlibat membantu kerajaan menyiapkan PPE. Peringkat Mosti, Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memang sangat memerlukan kepada PPE, keperluan yang mendesak pada ketika ini,” ujarnya.

Menurut Amzad lagi, rakyat Malaysia seluruhnya mesti bersama-sama dalam perjuangan memutuskan rantaian pandemik dan menghadapi wabak Covid-19.

Hadir sama mengiringi beliau, wakil Haluan iaitu Mohd Jamil Muda dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Ali Mamat dan Timbalan Pengarah (Pengurusan), Nik Suliati Nik Awang.

Harakah dimaklumkan, seramai 39 orang sukarelawan terdiri dari pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu terlibat bagi menyiapkan Personal Protective Equipment (PPE) untuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Projek PPE itu kerjasama antara Kolej Komuniti Kuala Terengganu dengan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan), untuk menyiapkan 750 helai Gown, Nursing Cap (1000), Head Cover (1375) dan Boot Cover sebanyak 1375 pasang.- HARAKAHDAILY 28/4/2020