NST, The Star dan Malay Mail salah lapor

Kes jamuan makan di maahad tahfiz semasa PKP

BERHUBUNG kes jamuan makan yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali bersama Exco Kerajaan Negeri Perak Tuan Haji Razman Zakaria di Maahad Tahfiz al-Quran Kampung Luat Lenggong yang akan didakwa di mahkamah majistret Gerik pada hari ini, saya ada mendapat hantaran berita daripada portal berbahasa Inggeris yang melaporkan fakta yang tidak tepat.

Fakta dalam laporan tersebut, bagi saya, perlu diperbetulkan kerana ia memberikan persepsi yang tidak baik kepada maahad tahfiz kami seterusnya menjejaskan imej kami pada pandangan masyarakat. Satu laporan berita yang ditulis oleh Manjit Kaur pada hari Sabtu 18 April 2020 jam 8:49 malam dan dilaporkan oleh The Star mengatakan:

Advertisement

“The management of the tahfiz had prepared some food, and seeing that the food had already been prepared, he probably had a meal,” he added.

Terjemahan: “Pihak pengurusan tahfiz telah menyediakan sedikit makanan, dan melihatkan makanan itu sudah pun disediakan, dia berkemungkinan sudah makan,” tambah beliau (iaitu Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain).

Ingin saya nyatakan di sini, pengurusan maahad telah bercuti sejak 14 Mac lepas, bermula cuti sekolah dan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pihak yang menyediakan makanan ialah beberapa individu daripada penduduk Kampung Luat yang memasak makanan di rumah mereka kemudian menghantarkan makanan tersebut ke maahad, setelah mereka dimaklumkan mengenai kehadiran pihak Kementerian Kesihatan ke maahad. Maahad tahfiz tidak terlibat dalam penyediaan makanan pada hari tersebut.

Pautan berita:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/04/18/perak-cops-to-investigate-those-who-ate-meal-together-in-tahfiz-deputy-minister-included

Seterusnya, dalam laporan berita yang sama juga mengatakan:

Deputy Health Minister I, Datuk Seri Dr Noor Azmi and Perak state exco Razman Zakaria were seen in viral pictures enjoying a meal with about 30 others, including students, at the tahfiz.

Terjemahan: Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Seri Dr Noor Azmi dan Exco Negeri Perak, Razman Zakaria dilihat dalam gambar viral menikmati makanan bersama kira-kira 30 yang lain, termasuk pelajar, di tahfiz.

Laporan yang sama ditulis oleh Zahratulhayat Mat Arif pada 27 April 2020 jam 5:57 petang disiarkan di portal berita New Straits Times melaporkan:

It was reported that the Gunung Semanggol assemblyman and Dr Noor Azmi were seen in viral pictures enjoying a meal with about 30 others, including students, at a tahfiz centre.

Terjemahan: Dilaporkan bahawa ADUN Gunung Semanggol dan Dr Noor Azmi kelihatan dalam gambar yang ditular sedang menikmati hidangan bersama kira-kira 30 orang yang lain, termasuk pelajar tahfiz, di sebuah pusat tahfiz.

Lihat pautan berita:
https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2020/04/587941/deputy-health-minister-be-charged-breaching-mco#.XqavQdBW051.facebook

Portal berita The Star juga melaporkan berita yang sama.

Lihat pautan berita:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/04/19/m039sians-bite-back-at-perak-top-cop039s-assessment-of-039tahfiz-meal039-incident

Saya perlu menjelaskan bahawa semua pelajar maahad tahfiz kami telah pulang bercuti pada 14 Mac lepas, sebelum PKP diumumkan. Mereka terus menetap di rumah sehingga ke hari ini berikutan PKP dan tiada seorang pun yang datang ke maahad dalam tempoh tersebut.

Saya tidak tahu daripada sumber laporan mana yang diperolehi wartawan NST yang kemudian dengan ayat yang sama disalin oleh The Star mengatakan bahawa bahawa ADUN Gunung Semanggol dan Dr Noor Azmi menikmati hidangan bersama kira-kira 30 orang yang lain, termasuk pelajar tahfiz. Mungkinkah mereka ambil daripada berita The Star yang ditulis oleh Manjit Kaur pada hari Sabtu 18 Apr 2020?

Kesan daripada kesalahan fakta itu menyebabkan kami menerima kritikan dan tohmahan daripada masyarakat dan netizen, sedangkan tiada seorang pelajar pun terlibat dalam kejadian tersebut. Berita yang ditulis oleh Jon Bunyan dan disiarkan oleh Malay Mail melaporkan:

It is unknown if Razman’s son Muhammad Rifaat will also be similarly charged, nor others who were also present at the event.

Terjemahan: Tidak diketahui adakah anak lelaki Razman, Muhammad Rifaat juga akan dikenakan tindakan yang sama, begitu juga orang lain yang turut hadir dalam acara tersebut.

Berikut pautan berita:
https://www.msn.com/en-my/news/national/report-deputy-health-minister-perak-exco-to-be-charged-with-violating-mco-tomorrow/ar-BB13g8zd?ocid=spartanntp

Perlu saya maklumkan bahawa saya tiada di tempat kejadian ketika peristiwa tersebut. Saya hanya dipanggil hadir ke balai polis untuk dirakam keterangan berhubung kes ini atas kedudukan saya sebagai Pengetua maahad tahfiz tersebut. Justeru saya menggesa portal berita yang dinamakan dapat membuat pembetulan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesalahan fakta dalam laporan berita sehingga menyebabkan salah faham terhadap saya dan pengurusan maahad tahfiz.

Semua kami telah dipanggil untuk beri keterangan dalam siasatan pihak polis, dan sekarang ini proses masuk ke peringkat perbicaraan mahkamah. Semua ini menunjukkan ketelusan dan profesionalisme pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka yang kita yakini. Apa jua keputusannya kita serahkan kepada Allah S.W.T;

ٱلَّذِینَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُوا۟ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِیمَـٰنࣰا وَقَالُوا۟ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِیلُ

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir Musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.”

[Aal-E-Imran: 173]

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Mudir
Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah
Kampung Luat, Lenggong
Selasa
5 Ramadan 1441
28 April 2020 – HARAKAHDAILY 28/4/2020