Perkhidmatan bekalan air lebih baik untuk Kelantan

kelantan

LEBIH 261,000 pemilik akaun bekalan air terawat di Negeri Kelantan dijangka akan menikmati perkhidmatan bekalan air yang lebih baik berikutan pelaksanaan 33 projek bekalan air dari sekarang sehingga tahun 2025. Fokus diberikan kepada dua aspek utama iaitu pembangunan dan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

Sebanyak 12 projek pembangunan dan menaik taraf LRA melibatkan pembiayaan pinjaman RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dua projek dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta. Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan LRA Merbau Chondong, LRA Tanjung Mas, LRA Felda Chiku, LRA Kampungg Telok, LRA Tualang dan 18 projek LRA mini. Pelaksanaan projek ini sangat penting bagi meningkatkan liputan bekalan air terawat yang kini berada pada tahap 68 peratus di kawasan bandar dan 72 peratus di kawasan luar bandar.

Advertisement

Kerajaan Persekutuan melalui KASA juga memperuntukkan geran RM69.95 juta bagi pelaksanaan Program NRW Kebangsaan (Pendekatan 1) dan lebih RM200 juta melalui pembiayaan PAAB bagi program penggantian paip yang sedang dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2023 yang merupakan sebahagian dari pembangunan modal berjumlah RM400 juta yang telah diluluskan. Pelaksanaan projek ini penting untuk mengurangkan kadar NRW Kelantan yang mencatat paras 50.8 peratus pada tahun 2019.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Kelantan juga melabur RM30 juta bagi pelaksanaan 16 projek membaik pulih telaga dan pembinaan LRA mini di Pintu Geng, Perol, Ketereh, Wakaf Bharu, Kelar dan Telok Mesira. Kementerian ini akan meneruskan kerjasama yang sedia terjalin erat dengan pentadbiran Negeri Kelantan dalam memastikan bekalan air terawat yang berkualiti kepada seluruh rakyat Kelantan.

YB DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air
Putrajaya
28 April 2020 – HARAKAHDAILY 28/4/2020