Ramadan: Ibadah puasa ‘new normal’ lebih baik?

PERUTUSAN khas Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena 1 Ramadan 1441H/2020M baru-baru ini turut disusuli pengumuman pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh dua minggu lagi bermula hari ini.

Ini menjadikan sebahagian besar Ramadan pada kali ini sudah pastinya berada dalam tempoh PKP Fasa 3 dan 4 sekali gus menyaksikan kita semua menjalani ibadah puasa dalam suasana yang baharu.

Walaupun tidak seperti kebiasaan betapa meriahnya bazar Ramadan, masjid dan surau turut dipenuhi umat Islam mendirikan solat fardhu dan solat sunat secara berjemaah.

Advertisement

Namun Ramadan dan Syawal tetap seperti biasa, tiada penangguhan berlaku sebaliknya teruslah menunaikan rukun Islam dengan sempurna serta berusaha menghidupkan syiarnya.

Situasi kehidupan normal baharu ketika ini sebenarnya lebih baik bagi orang yang bijak memanfaatkan masa malah telah mengurangkan risiko terdedah kepada kemaksiatan umum di luar rumah.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud;

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Semestinya dalam bulan Ramadan ini begitu banyak amal ibadat yang boleh dilaksanakan walaupun ketika berada di rumah masing-masing kerana umumnya dijanjikan pahala 70 kali ganda.

Di dalamnya juga terdapat suatu malam yang disebut dalam surah al-Qadr bahawa Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1,000 bulan dan beruntunglah bagi mereka yang beribadat pada malamnya.

Akan tetapi adalah lebih baik jika ibadah puasa itu dimanfaatkan keseluruhan sebulan Ramadan dengan pelbagai amalan kebaikan yang sudah pasti akan menemui malam yang diidamkan tersebut.

Maksud Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim;

“Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.”

Sementara itu, ada dua perkara penting yang menjadi Sunnah Rasulullah S.A.W ketika menjalani ibadah puasa iaitu menyegerakan berbuka puasa apabila masuknya waktu dan hendaklah meninggalkan apa jua urusan ketika itu;

“Daripada Sahl bin Saad R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan”.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah Rasulullah S.A.W turut melarang kita daripada melewat-lewatkan berbuka puasa itu yang menjadi amalan penganut Yahudi dan Kristian sebaliknya disunatkan mengakhirkan waktu bersahur.

Maksud Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim;

“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”

Sahur adalah berkat kerana ia membantu menguatkan orang berpuasa yang mana waktunya bermula daripada pertengahan malam hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).

Sesungguhnya kedua-dua perkara penting tersebut menjadi asas perkiraan puasa seharian kita dan boleh dimanfaatkan juga waktu mustajab doa iaitu sebelum berbuka dan berqiamullai di waktu sahur.

Sebagaimana maksud Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 183;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

InsyaAllah mudah-mudahan di akhir Ramadan ini yang ternyata peluang dan ruang masa yang baik untuk dimanfaatkan sebulan ini agar kita semua mendapat takwa di sisi Allah S.W.T.

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 28/4/2020