Sejarah Yahudi dan pengaruh Hellenistik (Siri 2)

Yahudi

LATAR belakang

(1) Artikel yang lepas kita membincangkan mengenai sejarah Yahudi dan seterusnya mula ‘terjebak’ dalam dunia falsafah. Khususnya ketika gelombang Hellenistik.

InsyaAllah artikel kali ini kita sambung sikit, mengenai bibit-bibit keruntuhan Empayar Rom, yang kemudiannya terpecah menjadi Rom Timur dan Rom Barat.

Dalam masa yang sama, kita perhatikan juga bagaimana kesannya terhadap dunia falsafah yang melanda orang-orang Yahudi, dan seterusnya penganut penganut agama Kristian.

(2) Yahudi sangat terkenal dengan kitab Taurat yang diseleweng menjadi Old Testment (Perjanjian Lama). Sejak penurunan Taurat sehinggalah Nabi Isa A.S adalah tempoh yang panjang.

Di celah itu, turunnya Kitab Zabur kepada Nabi Daud A.S yang dikenali oleh mereka dengan nama King David. Selepas Nabi Daud A.S, pemerintah Palestin ialah Nabi Sulaiman A.S, yang disebut sebagai King Solomon.

Advertisement

(3) Itu sejarahnya. Tempoh yang panjang ini menyebabkan Taurat yang diturunkan hilang sedikit demi sedikit. Sekalipun ada yang mengatakan bahawa pada zaman Nabi Musa A.S, Baginda membuat 12 salinan kitab itu.

Peperangan yang banyak, seperti serangan Nebuchadnezzar dan sebagainya menyebabkan kitab rujukan itu semakin menghilang, bersama ‘tabut’.

Orang Yahudi yang hidup di merata-rata akibat kesan penjajahan, menyebabkan mereka terkesan dengan banyak peradaban, seperti Hellenistik yang saya ceritakan sebelum ini.

Yahudi yang terpengaruh

(1) Sebelum kelahiran Nabi Isa A.S, orang-orang Yahudi sudah biasa menggunakan falsafah Yunani untuk menguatkan agamanya. Hal ini boleh dikaji dalam Perjanjian Lama.

Dalam bab 17 contohnya, terdapat idea-idea Stoicism, yang bersifat apologetik. Hal ini dihurai secara panjang dalam buku Biblical Faith And Natural Theology oleh James Barr, tajuk Paul On The Areopagus.

(2) Walaupun kita sedar bahawa kemunculan aliran-aliran falsafah dalam pecahan-pecahan Kristian, kita perlu tahu bahawa orang-orang Kristian terkesan dengan perbincangan falsafah.

Hal ini boleh diperhatikan dalam kajian ‘Ancient Philosophy from 600 BCE to 500 CE’ yang di edit oleh Brian Diugnan yang diterbitkan oleh Britannica Educational Publishing.

Sejarah ini ditulis di dalam ‘Chapter 6’ bertajuk ‘Jewish and Christian Philosophy in the Ancient World’ antaranya membincangkan mengenai sejarah kesan falsafah itu terhadap Yahudi.

(3) Antara yang diceritakan mengenai tokoh falsafah berbangsa Yahudi, Philo. Philo (20SM-50M) selain daripada terkesan dengan aliran Stoicism, beliau turut terkesan dengan Platonism.

Platonism merujuk kepada aliran yang dibawa oleh Plato, anak murid Socrates. Bahkan, Philon mendakwa bahawa ajaran para Nabi terdahulu, selaras dengan pemikiran Plato.

Philon juga dikatakan pernah menulis huraian yang panjang mengenai Old testament dalam ‘Kejadian’. Namun, karya-karyanya yang berjelar-jelar itu tidak diiktiraf oleh Yahudi.

Selepas Philo

(1) Walaupun karya Philo ditolak oleh Yahudi, namun ia banyak menjadi rujukan penganut ajaran Kristian, khususnya era 200M. Pengaruhnya ini melahirkan kehangatan perbincangan falsafah Kristian.

Kita boleh lihat ‘pewaris-pewaris’ beliau yang banyak mencorak dunia falsafah Kristian yang lebih berselirat, yang akan dihuraikan dalam artikel lain insyaAllah.

(2) Antara pemikir politik Yahudi terawal selepas Philo ialah Josephus (37-100). Yunani Klasik meletakkan 3 sahaja bentuk pemerintahan, iaitu monarki, aristokrasi dan demokrasi.

Manakala Josephus menambah satu lagi ialah teokrasi. Iaitu bentuk pemerintahan yang berteraskan ketuhanan. Berbeza dengan Philon yang menganggap demokrasi itu yang terbaik.

(3) Antara penganut Kristian terawal yang menggunakan falsafah Yunani juga ialah Justine Martyr (100-165). Kemudian diteruskan oleh Clement of Alexandria (150-215 M) dan Origen (185-254 M).

Rata-rata mereka adalah penganut agama Kristian, yang dilihat menggunakan Falsafah Yunani untuk menguatkan pegangan agama mereka. Ketika itu masing-masing di bawah kekuasaan Rom.

(3) Empayar Rom yang terbina secara rasmi pada zaman Octavian sepertimana yang diceritakan dalam tulisan yang lalu. Kisah hidup Nabi Isa A.S dan pengikutnya juga berlaku di dalam lingkaran Empayar Rom.

Empayar Rom berlaku pergolakan panas, khususnya setelah kematian Carus dan anaknya Numerian. Tiba-tiba munculnya Diocletian (244-312) mengisytiharkan diri sebagai Raja ke-51.

Perselisihan dan perpecahan

(1) Pengisytiharan Diocletian tidak dipersetujui oleh seorang lagi anak Carus, namanya Carinus. Beliau cuba membuat serangan, namun terkorban. Manakala Diocletian meneruskan pemerintahannya bersama Maximian (250-310) selepas itu.

Ketika itulah mereka membahagikan Rom Timur diperintah oleh Diocletian, manakala Rom Barat diperintah oleh Maximian. Rom Timur berkembang menjadi Rom Byzantine pada 330.

(2) Pada zaman ini, muncul tokoh falsafah Kristian yang terkenal ialah, ialah Basil of Caesarea (329-379 M), Gregory of Nazianzus (330-389M) dan Gregory of Nyssa (335-394 M).

Basil dikenali sebagai penentang bidaah di dalam ajaran Kristian. Manakala kedua-dua Gregory dari Nazianzus dan Nyssa terkenal dengan Trinity mereka.

(3) Apabila membaca kisah-kisah Nabi Isa A.S yang disebut di dalam al-Quran, khususnya ketika kelahiran Baginda A.S, jelas menunjukkan bahawa Yahudi ketika itu ada yang terpengaruh dengan falsafah.

Sepertimana yang kita ketahui, falsafah ada yang betul, ada yang salah. Hal ini juga terkesan kepada Yahudi. Ketika kelahiran Nabi Isa A.S yang pelik itu, Yahudi terpecah menjadi tiga aliran.

(3) Allah S.W.T berfirman di dalam surah Maryam ayat 37;

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِن بَيْنِهِمْ

Tafsir al Maraghi menceritakan bahawa mereka terpecah menjadi tiga aliran;

(a) اليعقوبية Berpendapat bahawa Nabi Isa adalah tuhan yang turun dari langit, kemudian naik semula.

(b) النسطورية Berpendapat bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan, kemudian ia naik semula ke langit.

(c) الملكانية Berpendapat bahawa Nabi Isa A.S adalah hamba Allah S.W.T, seorang makhluk.

Persidangan Synodes

(1) Ibnu Kathir menghuraikan ayat 37 surah Maryam mengenai perselisihan terhadap status Nabi Isa A.S, ada empat golongan. Tiga golongan sepertimana yang disebut dalam Tafsir al-Maraghi.

Golongan yang keempat pula ialah dari kalangan Bani Israel, yang mengemukakan konsep trinity, selaras sepertimana teori Gregory Of Nyssa.

(2) Ibnu Kathir juga meriwayatkan bahawa Raja Rom (Costantine) yang merupakan ahli falsafah menghimpunkan para paderi untuk membincangkan perselisihan ini. Beliau menerima satu pandangan, dan menolak yang lain.

(3) Di kala pembahagian Rom Timur dan Barat, memang berlakunya perhimpunan paderi sedunia di dalam persidangan Synodes di Nicia pada 325 Masihi dan kemudiannya di Konstantinopel pada 381 Masihi.

(a) Di dalam buku Beriman Kepada Malaikat dan Kitab, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa kehadiran dalam persidangan tersebut seramai 2048 orang.

(b) Beliau turut menyatakan bahawa dalam persidangan tersebut membincangkan status Nabi Isa A.S Raja Rom telah bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan.

(3) Kesimpulannya, kita boleh faham bagaimana perubahan geopolitik memberi kesan kepada perkembangan falsafah, sehinggalah mengheret kepada perbahasan dalam agama.

Orang Yahudi yang terikut dengan falsafah yang tak betul, mula merasakan Perjanjian Lama perlu diubah, sesuai dengan falsafah itu. Kemudian terkeliru dengan kenabian Nabi Isa A.S.

*Artikel siri pertama: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3703284133046653&id=100000953077134

*Gambar: Persidangan Synodes di Nicia. Disebut juga Council Of Nicaea.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 28/4/2020