SOP Zon Hijau akan dibentangkan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk penduduk di Zon Hijau sedang dirangka di peringkat akhir di Majlis Keselematan Negara (MKN) dan bakal dibentangkan kerajaan dalam masa terdekat.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membentangkan SOP yang lebih lengkap untuk memberi kelonggaran kepada penduduk di Zon Hijau.

“Sebagai contoh, di kawasan yang tertutup atau berpagar, katakan perumahan PPR, tertutup ada pagar dan sebagainya, keseluruhan di PPR tersebut tidak boleh keluar dan sebagainya.

“Kemudian didapati tidak ada gejala pun dalam kalangan mereka, mungkin kita cadangkan mereka dibenarkan keluar turun ke bawah dan sebagainya, tetapi tidak lagi boleh keluar luar daripada kawasan mereka, mungkin (dibenarkan keluar) dalam kawasan berpagar sahaja, boleh bawa anak dan sebagainya.

“SOP dikeluarkan mungkin blok demi blok, mungkin 2 hingga ke 3 jam satu blok (boleh turun), ini semua sedang dirangka oleh MKN, dan sedang dapatkan input dari seluruh kementerian suaya SOP yang dikeluarkan menyeluruh, dan meliputi semua kementerian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 28/4/2020