Tauhid dan syirik

وَمَا كَانَ ٱلنَّاسُ إِلَّآ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَٱخۡتَلَفُواْۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةٞ سَبَقَتۡ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡ فِيمَا فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ

“Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.”

(Yunus: 19)

Advertisement

Kehidupan awal manusia bermula dengan fahaman tauhid kepada Allah S.W.T yang bermula dengan penciptaan Nabi Adam A.S.

Manusia pada awalnya hanya menyembah Allah S.W.T sebagai tuhan yang satu dan berpegang kepada ajaran Islam dalam menjalani kehidupan.

Perbezaan fahaman Barat dan Islam

Menurut fahaman Barat dalam perbahasan Ilmu Antropologi, awal kehidupan manusia adalah bermula dengan kesyirikan kepada Allah S.W.T. Tauhid hanyalah muncul apabila kehidupan manusia mencapai kemuncak dalam mencari agama.

Berbeza dengan fahaman dalam Islam, manusia pada awalnya bermula dengan mentauhidkan Allah S.W.T yang bermula dari zaman Nabi Adam A.S.

Fitrah manusia ingin beragama

Menurut kajian tamadun yang dijalankan terhadap tamadun-tamadun yang telah wujud, walaupun wujud tamadun yang tidak berlaku perkembangan binaan bangunan dan lain-lain, tetapi tiada satu pun tamadun yang pernah wujud tidak mempunyai tempat-tempat ibadah.

Ini menunjukkan bahawa kehidupan manusia daripada awal kemunculan sangat bergantung dengan kehidupan beragama;

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(ar-Rum: 30)

Permulaan syirik

Setelah kewafatan Nabi Idris A.S, manusia telah mula melakukan amalan syirik dengan menyembah berhala-berhala. Berhala-berhala ini pada asalnya adalah untuk memperingati orang-orang soleh yang muncul selepas kewafatan Nabi Idris A.S tetapi lama kelamaan telah menjadi sembahan kerana tergoda dengan hasutan syaitan.

Sumpah Iblis

Iblis dan kuncunya yang lebih dikenali syaitan berperanan penting dalam memastikan manusia melakukan syirik dan tidak lagi mentauhidkan Allah.

Sepertimana yang telah dijanjikan Iblis setelah penciptaan Nabi Adam A.S untuk bertekad menyesatkan manusia daripada mengabdikan diri kepada Allah S.W.T;

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.”

(al-A’raf: 16)

Rasul sebagai pembawa kebenaran tauhid

Setelah manusia mengamalkan amalan syirik dengan menyembah berhala-berhala, maka diutuskan Nabi Nuh A.S sebagai Rasul yang pertama menyeru manusia yang syirik kepada tauhid.

Begitulah keadaan seterusnya, apabila manusia telah mencapai kemuncak amalan syirik, maka diutuskan para Rasul untuk memandu kembali manusia ke jalan yang mentauhidkan Allah S.W.T dan menjauhi taghut:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”.”

(an-Nahl: 36)

Apa yang dimaksudkan dengan taghut adalah semua perkara selain daripada Allah S.W.T sama ada objek, alam sekitar atau apa sahaja yang dituruti sekalipun manusia. Moga kita terpelihara daripada amalan syirik dan sentiasa mengikuti jalan yang mentauhidkan Allah S.W.T.

ASYRAF HANIF

Kuliah Masjid as-Siddiqin Online,
Panchor, KelantanHARAKAHDAILY 28/4/2020

*Petikan Kuliah Tafsir Mingguan Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar/ Naib Presiden PAS