Wabak yang perlukan rawatan

KEBANGKITAN intelektual Eropah seiring dengan kemelut autokrasi golongan Gereja memunculkan aliran pengasingan antara urusan agama dan pemerintahan (Sekular), begitu juga memunculkan fahaman kebebasan hak individu untuk berekonomi (Kapitalis) dan dalam urusan peribadi seharian (Liberal). (Mustasyar Ali Jarishah)

Ketiga-tiga ini dan lain-lain aliran muncul dalam keadaan ‘hatred’ iaitu kebencian melampau terhadap pemerintahan gereja yang dinisbahkan kepada agamawan, dan juga ahli politik (kaisar Rom) yang menyekat kemampuan rakyat dalam segenap aspek bidang kehidupan. Rakyat langsung tidak diberi ruang untuk menentukan cara hidup yang mereka kehendaki, sebaliknya perlu mengikuti satu persatu arahan golongan gereja yang mewakili Tuhan. Sesiapa yang melawan mereka, bererti melawan Tuhan.

Walhal ianya tidak berlaku dan tidak wujud dalam ajaran Islam! Islam telah menentukan asas yang perlu diikuti oleh manusia, dan membuka ruang yang luas pula untuk mereka beramal. Menekuni Sirah 13 tahun dakwah Baginda S.A.W dan para Sahabat di Makkah sudah cukup untuk menjelaskan perihal ini.

Advertisement

Malangnya, trauma masyarakat Eropah terhadap agama ini dilampiaskan pula terhadap Islam. Kesannya sebahagian besar umat Islam menjadi fobia untuk memahami Islam dengan kerangka sebenar dan memilih untuk bersikap keras kerana mengguna pakai pemikiran Barat untuk justifikasi Islam. Memang sukar untuk menyekat segala macam aliran ini daripada masuk ke dalam pemikiran umat Islam dalam era langit terbuka ini. Mahu tidak mahu, perlu juga untuk menelitinya supaya boleh berbahas dengan tujuan membetulkan salah faham terhadap Islam dan bukan semata-mata mencari salah.

Sebab itu kata Dr Ghalib Ali Al Awaji:

“Dakwah itu telah gagal sejak dari awal apabila terus menghukum sesat mereka yang terkesan dengan aliran pemikiran Barat ini tanpa memberi penjelasan terlebih dahulu.”

(Al Mazahib Al Fikriah Al Muasirah)

Wabak Liberalisme juga memerlukan ramai lagi frontliner untuk tampil merawat dengan pencerahan yang mencambah iman dan keinsafan, bukan menambah lagi benci dan trauma dengan makian dan troll.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
27 April 2020 – HARAKAHDAILY 28/4/2020