Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (42)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا

“Dia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.””

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?”

قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

“Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku InsyaaAllah sabar dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.”

Ibrah akhir zaman

Selain daripada tiga ayat ini, Allah S.W.T juga merakamkan perkataan sabar di dalam ayat ke 28. Semuanya adalah sabar dalam melakukan ketaatan. Menunjukkan di akhir zaman, ujian untuk berpegang kepada ajaran Islam sangat berat untuk dihadapi. Tidak hairan Nabi S.A.W bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan tiba satu zaman di mana orang yang sabar mempertahankan agama dalam dirinya seperti memegang bara api.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Sudah menjadi lumrah bagi orang yang mengaku beriman, bahawa mereka akan diuji dan terus diuji di atas dunia ini hingga mati, bagi membuktikan adakah benar iman yang mereka lafazkan. Firman Allah S.W.T:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? () Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya mengenai orang-orang yang berdusta.”

[al-Ankabut: 2 & 3]

Ujian tersebut akan bertambah perit apabila dunia semakin tiba ke penghujungnya. Orang yang beriman kepada agama akan dilihat sebagai kolot, tidak bertamadun dan tidak mengikut trend. Orang yang menutup aurat, tidak mahu terlibat dengan riba, menolak Hedonisme atau memelihara ikhtilat akan dipandang serong.

Media sosial merancakkan lagi fenomena tersebut apabila manusia berlumba-lumba menunjukkan di alam maya kononnya mereka paling terkehadapan dalam mengejar trend baharu yang tular dari sudut fesyen, makanan, pelancongan, hiburan, penggunaan ayat-ayat hispter dan sebagainya tanpa mengambil kira batas agama halal dan haram. Oleh itu, mereka yang menjaga halal haram ini terutama yang cuba menegur kemungkaran akan dikecam beramai-ramai (cyber bully). Sabda Rasulullah S.A.W:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يُخَيَّرُ الرَّجُلُ فِيهِ بَيْنَ الْعَجْزِ وَالْفُجُورِ، فمن أدرَكَ ذلِكَ الزَّمانَ ، فليختَرِ العجزَ على الفُجورِ

“Akan tiba zaman di mana seseorang terpaksa memilih antara melakukan keburukan atau digelar sebagai kolot. Barangsiapa sempat dengan zaman itu maka pilihlah untuk digelar kolot daripada melakukan keburukan.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Antara ujian besar terhadap iman adalah berkait dengan ilmu pengetahuan. Apabila dunia hari ini mengiktiraf pemikiran Saintisme, Sekularisme, Liberalisme dan berbagai pemikiran moden, maka untuk berpegang kepada Islam dan menolak segala bentuk pemikiran ini adalah amat berat. Bahkan sudah terdapat ramai umat Islam yang masih mengaku Islam, tetapi menerima pemikiran-pemikiran ini hingga ke tahap menjejaskan akidah.

Dajal akan menggunakan pemikiran moden sebagai modal menyesatkan umat manusia. Dunia yang bertunjangkan pemikiran Saintisme mahu membuktikan segala-galanya mengikut kajian saintifik. Sehingga kewujudan tuhan pun perlu dibuktikan secara empirikal. Kerana itulah apabila Dajal muncul nanti, tersangat ramai manusia akan mempercayainya sebagai tuhan kerana beliau boleh dilihat, didengar dan disentuh secara empirikal!

Di saat itu juga, ajaran Islam semakin dilihat tidak relevan pada kaca mata Saintisme. Apabila Nabi S.A.W perintahkan memilih sungai api berbanding sungai air jernih di tangan Dajal, apabila Nabi nyatakan zikir boleh mengganti makanan, Nabi Isa akan turun dari langit, kambing akan berbaik dengan serigala, matahari akan naik daripada Barat dan seumpamanya, manusia sukar untuk percaya berbanding dakyah Dajal tampak lebih empirik dan logik.

Ujian inilah yang pernah menimpa Nabi Nuh apabila Baginda diejek gila kerana membina kapal di atas darat. Ujian ini jugalah yang dihadapi oleh Nabi S.A.W apabila menceritakan mengenai Israk dan Mikraj yang melangkau logik. Sehingga disebutkan oleh Dr As-Sollabi, ada Sahabat yang murtad kerana tidak mempercayainya.

Maka ayat al-Kahfi ini menuntut kita bersabar dalam menerima ajaran Islam sama ada yang boleh dibuktikan secara saintifik ataupun tidak. Hakikatnya ajaran Islam tidak akan bercanggah dengan sains, cuma epistemologi sains belum mencapai tahap yang tinggi untuk membuktikan kesemua kebenaran ajaran Islam terutama yang melibatkan soal akidah. Di sinilah kita mesti meletakkan keyakinan bahawa setiap yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W itu benar walaupun belum mendapat jawapan saintifiknya.

Menjelang akhirat nanti, semuanya akan dibongkar oleh Allah mengenai apa yang didustakan oleh manusia. Namun masa itu sudah terlambat untuk mereka yang baru mahu percaya. FirmanNya:

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ

“Pada hari datangnya sebahagian dari pembuktian Tuhanmu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu.”

[al-Anaam: 158]

ALANG IBN SHUKRIMUN
6 Ramadan 1441
29 April 2020 – HARAKAHDAILY 29/4/2020