Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 6)

UMAT Islam mestilah sentiasa merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam setiap lapangan hidup apatah lagi urusan mendirikan hukum Allah. Untuk menegakkan perundangan Allah, tidak dapat tidak perlunya kepada sebuah kepimpinan bagi melaksanakannya di dalam masyarakat dan negara. Rujukan yang tertinggi adalah Allah dan Rasul seterusnya memilih orang yang beriman sebagai kepimpinan bagi melicinkan pelaksanaan hukum Allah. Sesiapa yang memilih kepimpinan yang beriman sudah tentu dia beroleh ganjaran yang besar kerana memberi laluan yang mudah kepada mereka dalam menguruskan tuntutan syariat. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

إِنَّمَا وَلِیُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِینَ یُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَ ٰ⁠كِعُونَ. وَمَن یَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ

“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya penolong agama Allah (dalam sebuah jamaah teguh) itulah yang tetap menang.”

[al-Ma’idah: 55-56]

Namun, menjadi Anshorullah bukan mudah, akan banyak rintangan dan cabaran yang bakal dihadapi. Setiap Rasul mempunyai penolong agama untuk menjayakan tugas dakwah dan menegakkan perundangan syariat. Keseluruhan mereka berhadapan dengan tentangan hebat sehingga di kalangan mereka ada yang gugur sebagai Syuhada’. Sesungguhnya perjuangan menegakkan perundangan Islam mesti dilakukan dalam sebuah jamaah Islam yang menepati ciri-ciri parti Allah. Jemaah ini mesti meletakkan Allah sebagai keutamaan, tegas terhadap musuh dan berkasih-sayang sesama Mukmin, sentiasa berjihad demi agama Allah dan tidak pernah takut kepada celaan orang yang mencela.

Pada zaman dahulu, ujian menyebar serta mempertahankan kebenaran terlalu dahsyat. Ada yang telah digergaji kepala sehingga terbelah dua, ada yang disikat daging dengan sikat besi sehingga nampak tulang, namun mereka tidak pernah mengalah. Ujian dahsyat seperti itu turut berlaku pada zaman ini dengan kecanggihan senjata perang yang digunakan untuk membunuh umat Islam termasuk digunakan untuk menyeksa pejuang Islam dalam penjara.

Para penentang dan penghina agama hari ini semakin berleluasa kerana mereka mendapat sokongan musuh serta didanai oleh pelbagai syarikat korporat dalam dan luar negara untuk melenyapkan Islam. Oleh yang demikian, Allah melarang keras jamaah Islam bersekongkol dengan musuh agama sama ada mereka itu adalah golongan kuffar atau munafik. Allah tegaskan hal ini melalui firman-Nya:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِینَ ٱتَّخَذُوا۟ دِینَكُمۡ هُزُوࣰا وَلَعِبࣰا مِّنَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِیَاۤءَۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan, daripada orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir Musyrik itu menjadi penolong-penolong. Dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

[al-Ma’idah: 57]

Cabaran umat Islam semakin getir dengan lahirnya pelbagai doktrin sesat yang dianuti oleh sekelompok masyarakat seperti Sisters In Islam, Free thinker, fahaman Liberal dan lain-lain. Jalan yang paling selamat untuk mengekang serta menghalang doktrin berkenaan mendapat pengaruh yang lebih ramai adalah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Juga melalui pemerkasaan terhadap institusi agama semua peringkat serta mengelakkan perbalahan ummah akibat gejala khilaf yang tidak berkesudahan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
06 Ramadan 1441 / 29 April 2020 – HARAKAHDAILY 29/4/2020