Manusia syaitan di bulan Ramadan

ramadan

DALAM kitab Faidhu Al-Rahim Al-Rahman Fi Ahkam Wa Mawa’iz Ramadan karya Dr. Abdullah bin Mohamed Al-Thoyyar menjelaskan bahawa jika sikap tercela masih menjadi amalan di bulan Ramadan, nescaya munculnya manusia berperangai syaitan yang berkeliaran:

Advertisement

ففتش عن نفسك أخي المسلم هل أنت ممن أحسنوا قبل رمضان فزادوا فيه إحسانا على الإحسان، أم أنت ممن ضيع قبل رمضان فجاءه رمضان وما غير من أحواله شيئا، تبع هواه فأرداه وأطاع شيطانه فأغواه، وغدا سيندم على التفريط يوم لا ينفع الندم.

“Maka hendaklah kamu selidiki diri wahai saudaraku seislam. Apakah kamu tergolong daripada kalangan yang telah melakukan kebaikan sebelum Ramadan, lalu mereka diberi kebaikan yang berlipat ganda? Atau apakah kamu tergolong kalangan yang mensia-siakan hidupnya sebelum Ramadan yang menyebabkan dia tidak berubah sedikitpun ketika tiba bulan Ramadan? Dia lantas mengikut hawa nafsu lalu memusnahkan dirinya, tunduk kepada kehendak syaitani lalu menyesatkannya. Esok kamu pasti akan menyesal di atas segala keterlanjuran pada hari yang sudah tidak berguna lagi akan penyesalan.”

Walaupun syaitan di belenggu pada bulan Ramadan akan tetapi sifat syaitani yang diwarisi dalam diri manusia masih kekal. Ini bermakna manusia berperangai syaitan masih berleluasa di bulan ini. Imam Al-Qurthubi dalam kitab Al-Mufhim Lima Asykala Min Talkhis Kitab Muslim menyatakan bahawa maksud syaitan dibelenggu itu ada tiga tafsiran:

(i) Syaitan hanya dibelenggu bagi orang yang berpuasa dengan sempurna manakala orang yang tidak berpuasa atau berpuasa tetapi tidak memenuhi syarat yang ditetapkan akan tetap diganggu oleh syaitan.

(ii) Syaitan dibelenggu dan tidak boleh mengganggu orang yang berpuasa sempurna dan orang yang berpuasa tidak sempurna. Namun, ini tidak bermakna kejahatan tidak berlaku. Kejahatan boleh terjadi dengan adanya perangai manusia yang jahat seperti syaitan, atau adanya tabiat suka melakukan kejahatan atau adanya orang yang tiada kesedaran agama.

(iii) Syaitan yang dibelenggu adalah kalangan Maradah iaitu syaitan yang terlalu ganas dan jahat manakala syaitan atau jin lain tidak dibelenggu. Ia juga bermaksud kurangnya kejahatan berlaku akibat pengaruh kuasa syaitan telah diberkas.

Sekiranya kita sudah terlanjur dan tidak berbuat banyak kebaikan sebelum Ramadan, jalan untuk melakukan kebaikan masih terbentang luas pada bulan ini. Kuasa syaitan sudah diberkas manakala nafsu menjadi lemah kerana berpuasa, maka rebutlah peluang semaksima mungkin khasnya dalam mentadabbur al-Quran, memperbanyakkan sedekah, mencari malam Lailatul Qadar dengan ibadat serta mempertingkat amalan pada sepuluh akhir Ramadan.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 29/4/2020