Ramadan, nafsu dan aliran tunai

RAMADAN tahun ini sangat unik untuk umat Islam seluruh dunia. Disebabkan wabak COVID-19, pelbagai aktiviti rutin bulan Ramadan dihentikan. Tidak ada solat tarawih beramai-ramai di masjid. Tidak ada berbuka puasa di masjid. Tidak ada bazar Ramadan ‘offline’.

Waktu ini pergerakan ahli keluarga terbatas. Secara tidak langsung aliran keluar masuk duit juga terbatas. Masing-masing baru sedar berapa duit simpanan yang ada. Berapa lama duit simpanan boleh bertahan.

Bagi sesetengah orang, COVID-19, PKP dan Ramadan adalah malang berganda. Namun bagi saya ia adalah hikmah berganda. Saya kerap kali sebut bahawa waktu PKP ini adalah waktu paling sesuai untuk muhasabah kewangan masing-masing.

Advertisement

Peluang terbuka luas pada waktu ini untuk anda belajar ilmu urus kewangan daripada sesiapa pun secara online. Matlamatnya bukan untuk hari ini tetapi untuk hari mendatang selepas PKP nanti.

Jika anda ikuti tulisan saya sebelum ini, saya mudahkan formula kewangan hanya dengan 4 kotak yang saya namakan sebagai Akaun Bajet. Sehingga ke hari ini, kita masih lagi belum habis sembang mengenai 2 kotak teratas iaitu Duit Masuk dan Duit Keluar (aliran duit tunai).

Sengaja saya panjangkan topik ini atas beberapa sebab. Pertama, aliran duit tunai ialah topik paling penting dalam formula kewangan saya. Jika anda mampu kawal 2 kotak teratas, anda senang untuk kawal 2 kotak lagi.

Kedua, aliran duit tunai memberi kesan paling besar dalam kewangan. Anda boleh lihat kebenarannya pada hari ini. Orang yang aliran tunainya terhantuk, sekarang ini terngadah dan perlu segera dibantu.

Ketiga, mengawal aliran tunai perlukan masa. Saya sendiri secara peribadi ambil masa 2 tahun untuk kuasai aliran tunai dalam misi meng’eksperimen’kan formula kewangan yang saya belajar. Matlamatnya mudah, untuk hasilkan simpanan.

Kalau anda kata ‘simpan duit banyak-banyak pun bukan boleh bawa mati’, nampaknya anda baru baca tulisan saya ini. Sila rujuk tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Di sana saya sebut bab hubungan duit dengan alam selepas mati.

Kemuncak kuasa mengawal aliran tunai ialah apabila anda mampu pandang skrin mesin ATM tanpa nafsu. Daripada tak pernah ada simpanan sampai ada simpanan 2 angka, 3 angka, 4 angka contohnya, pandangan anda pada skrin mesin ATM sama sahaja. Tak terasa nak keluarkan duit. Tak ada ‘wahyu’ yang tiba-tiba ‘turun dari langit’ supaya shopping ke sana ke mari. Beli itu beli ini.

Banyak sangat saya dengar ayat ‘duit lebih ini kalau tak belanja, nanti habis pergi ke tempat lain’. Yang sebut itu pun bukan kaleng-kaleng. Salah seorangnya kawan saya berjawatan Ketua Lajnah Tarbiah. Lalu duit itu pun habis digunakan untuk bayar duit muka motorbike barunya.

Rupanya tarbiah kewangan masih ‘disekularkan’ daripada sistem tarbiah Islam. Kata guru saya, ‘orang yang celik ramai tapi duduk dalam gelap. Apa perlu buat? Wujudkan cahaya’. Ini yang saya cuba buat. Wujudkan cahaya. Kata orang didik nafsu ialah melalui ilmu tasawuf. Saya kata didik nafsu juga boleh melalui ilmu bajet.

Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) tahun 2018 mendedahkan 20 peratus orang dewasa Malaysia yang bekerja tidak membuat simpanan dalam tempoh 6 bulan terakhir. Bagi yang ada membuat simpanan, 52 peratus daripada mereka tidak ada minimum simpanan RM1,000 jika berlaku kecemasan.

Simpanan bukan hanya untuk kecemasan. Simpanan juga bukan solusi masalah kewangan. Simpanan ialah sebahagian strategi kewangan. Perbahasannya panjang. Saya akan ulas statement ini apabila tiba masanya nanti insyaAllah.

Dalam bulan Ramadan ini kita digalakkan banyak berdoa. Antaranya ialah doa minta kebaikan dunia dan akhirat yang diambil daripada al-Quran. Cuma ayat yang menyusul selepas doa itu jarang dibacakan. Saya tinggalkan anda dengan petikan ayat itu yang menyuruh umat Islam bertindak. Sila kaitkan dengan tajuk sembang kita hari ini;

وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّقُوْلُ رَبَّنَآ اٰتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَّفِى الْاٰخِرَةِ حَسَنَةً وَّقِنَا عَذَابَ النَّارِ (٢٠١) اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ نَصِيْبٌ مِّمَّا كَسَبُوْا ۗ وَاللّٰهُ سَرِيْعُ الْحِسَابِ (٢٠٢)

“Di antara mereka ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik berdasarkan apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitunganNya.”

(al-Baqarah: 201-202)

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 29/4/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.