Tabiat akal dan digital Darwinism

HAYY Ibn Yaqazan

Advertisement

(1) Nabi S.A.W bersabda;

كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، حَتَّى يُعْرِبَ عَنْهُ لِسَانُهُ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah hingga ia fasih (berbicara), maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

(Riwayat al-Baihaqi)

Hadis ini biasanya dimasukkan oleh para ulamak dalam sektor tarbiah dan taalim (pendidikan). Ia menggambarkan bahawa akal manusia terkesan dengan suasana persekitaran yang membentuknya.

(2) Semasa era kegemilangan Andalus, Sepanyol muncul seorang tokoh pemikir Islam yang dikenali sebagai Ibnu Thufail. (1110 M-1185 M). Kegemilangan Islam di era itu sedikit sebanyak melahirkan ramai tokoh cendekiawan.

Selain Ibnu Thufail, antara yang masyhur ialah Ibnu Bajjah (1095-1138) dan Ibnu Rusyd (1126-1198). Mereka bertiga hidup sezaman, dan hidup di bawah kekuasaan Islam di Andalus, Sepanyol. Sezaman juga dengan Imam al-Ghazali (1058-1111) di Parsi (Iran).

(3) Ibnu Thufail terkenal dengan karyanya yang bertajuk ‘Hayy Ibn Yaqazan’ yang diterjemahkan dalam banyak bahasa, dan menjadi rujukan dunia Timur dan Barat. Karya penting ini sarat dengan kefahaman Islam.

Karyanya itu memberi pengaruh besar terhadap falsafah Islam klasik, dan falsafah moden Barat. Kisah ini menggambarkan mengenai kehidupan seorang manusia yang dicipta daripada tanah liat tanpa ibu dan ayah.

Bermula dengan diasuh oleh Rusa, sehinggalah Rusa itu mati. Kemudian Hayy Ibn Yaqazan mula melihat binatang-binatang lain, mengenali erti panas dan sejuk, dan kemudiannya memerhatikan bintang, bulan dan sebagainya.

Tabiat akal terkesan dengan suasana

(1) Kisah pengembaraan hidup yang panjang, yang dilalui oleh Hayy Ibn Yaqazan tadi menggambarkan bagaimana Ibnu Thufail cuba membentangkan realiti kehidupan manusia mengikut garisan pemikiran Islam.

Dalam banyak-banyak falsafah yang dimukakan oleh beliau, antara yang boleh kita fahami ialah manusia itu diberikan akal untuk ‘explore’ dengan menggunakan pancaindera, lalu melahirkan pengalaman.

(2) Bukan setakat itu, ada dari kalangan manusia berpegang teguh dengan pengalamannya sehingga wujudnya pemikiran Realism. Ada pula manusia yang begitu meyakini akalnya sehingga melahirkan pemikiran Idealism.

Idealism dan Realism hakikatnya kedua-duanya terbentuk daripada akal dan pancaindera. Menggambarkan bahawa kedua-dua ini dijadikan sumber utama dalam epistemologi para filosof (ahli falsafah) sepanjang zaman.

(3) Jika dikaitkan dengan Hadis yang saya kemukakan di awal tadi menggambarkan bahawa manusia itu secara tabiatnya terkesan dengan liku-liku hidupnya. Ia membentuk dimensi berfikir yang berbeza-beza.

(a) Terlalu banyak contoh untuk dikaitkan di sini. Antaranya kemunculan Kapitalism hasil daripada keruntuhan ekonomi Eropah disebabkan perang. Kemudian munculnya Sosialism hasil tindak balas terhadap kebobrokan Kapitalism.

(b) Kemunculan fahaman Qadariah dalam sejarah Islam adalah tindak balas terhadap fahaman Jabariyyah yang terkesan dengan idea-idea Safwan bin Jahm yang mengasaskan Fahaman Jahmiyyah.

(c) Kemunculan Liberalism, Feminism, Humanism dan sealiran dengannya disebabkan kongkongan gereja di era kegelapan di bawah sistem pemerintahan teokrasi selama 1000 tahun di Eropah bermula 476 hinggalah Reinassance.

Tabiat akal berkembang dan berselisih

(1) Berdasarkan realiti sejarah perkembangan ideologi manusia dan ketamadunan, dapat kita simpulkan bahawa manusia itu terkesan dengan apa yang pernah dilaluinya. Sama ada dari sudut cara berfikir, budaya dan sebagainya.

Sebab itulah sudah menjadi ‘Sunnatullah’ bahawa manusia itu berselisih. Perselisihan yang dahsyat boleh membawa kepada peperangan yang besar jika tidak diuruskan dengan baik.

(2) Contoh yang boleh kita ambil pengajaran ialah pertembungan antara Amerika dan Soviet 1947-1991 disebabkan perbezaan ideologi. Amerika berpegang dengan fahaman Adam Smith (Kapitalism) manakala Soviet Karl Marx (Sosialism).

Boleh juga lihat perselisihan dalam dunia Islam apabila tercetusnya Perang Jamal, Perang Siffin, pertembungan antara Umawiyyah dan Abbasiah, pertembungan antara Negara Murabitun VS Muwahhidun dan banyak lagi.

(3) Dalam sejarah Barat juga lahirnya pemikiran demi pemikiran hasil daripada perselisihan. Contohnya Aristotle mengasaskan Realism tidak selari dengan pendapat gurunya Plato yang mengasaskan Idealism.

Dalam sejarah Islam juga munculnya pelbagai aliran dan mazhab, bercambah-cambah sehingga melahirkan Asy Syafieyyah, Al Hanabilah, Ahlu Kufah, al Malikiyyah ahli Basrah dan banyak lagi.

(4) Manusia yang tabiatnya terkesan dengan suasana, membawa kepada realiti hari ini. Iaitu kita saksikan bahawa manusia itu bersifat ‘mampu serasi’ dengan suasana, atau difahami dengan penyesuaian.

Manusia yang dikurniakan akal dan pancaindera, tabiatnya berkembang. Sama sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Thufail dalam falsafah Hayy Ibn Yaqazan di awal tadi. Akal manusia dengan pancaindera secara automatik akan ‘explore’.

Evolusi pemikiran manusia

(1) Setelah kita faham bahawa tabiat akal manusia itu akan explore secara automatik, maka sifatnya akan sentiasa berkembang, dan berubah-ubah. Contohnya jika sudah biasa hidup susah, lama-lama akan serasi dan tidak lagi rasa sebagai satu kesusahan.

Contoh yang lain jika manusia itu selalu berfikir, dan mengingat, lama-lama otaknya akan cerdik dan pemikirannya akan tajam. Ini adalah kesemulajadian yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T menjadi kelebihan bagi manusia.

(2) Pada hari ini kita saksikan bahawa ideologi sejak zaman Yunani Kuno telah berevolusi dan berkembang dengan wujudnya aliran-aliran pemikiran dan sistem-sistem yang pelbagai pada hari ini:

(a) Sama juga dalam dunia perindustrian, bermula daripada Revolusi Industri 1.0 dengan enjin stim, sehinggalah berubah pada hari ini IR4.0 penguasaan ke arah dunia digital yang jauh berbeza dengan IR1.0.

(b) Dunia telekomunikasi juga berkembang, daripada menggunakan surat bertulis, berkembang kepada telegram dan telefon. Kemudian berkembang kepada telefon bimbit dan hari ini sudah serasi dengan smartphone.

(c) Dunia pengangkutan juga berkembang, daripada menggunakan tenaga binatang, berubah kepada enjin yang berasaskan minyak petrol, dan hari ini semakin serasi dengan kenderaan berasaskan elektrik.

(3) Fenomena-fenomena ini sedang bergerak, dan berkembang. Mereka yang tidak mengikuti perkembangan semasa pastinya digelar klasik. Kenderaan lama digelar Old Skool, manakala kenderaan super lama digelar klasik dan antik.

Justeru, manusia yang hidup pada hari ini pastinya tidak biasa hidup cara lama. Hampir tidak boleh dibayangkan seseorang itu boleh hidup tanpa whatsapp, facebook, apatah lagi handphone.

Digital Darwinism

(1) Sejak 10 tahun kebelakangan ini semakin hangatnya istilah Digital Darwinism, yang lebih membicara bab ekonomi. Menggambarkan bahawa dunia perniagaan yang semakin hari berubah kepada alam digital.

Digital Darwinism adalah evolusi tingkah laku pengguna apabila masyarakat dan teknologi berkembang lebih cepat daripada kemampuan beberapa syarikat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

(2) Bahasa mudahnya, syarikat-syarikat perniagaan tak sempat nak ‘follow’ perkembangan teknologi. Menyebabkan kesan yang besar dalam alam perniagaan. Mereka yang menggunakan style lama dianggap bakal ‘bungkus’.

Di Eropah, ia menjadi perbincangan hangat di kalangan penganalisis. Ada yang menganggap bahawa fenomena ini ‘membunuh jenama’. Bahasa mudahnya, menjadi satu kajian akademik bagi menjawab persoalan ‘Why Brands Die’.

(3) Analisis Fortune 1000 Corporations mendapati bahawa antara 1973-1983, 35 peratus daripada syarikat top 20 adalah syarikat yang baru. Hal ini diutarakan oleh Edward Lawler dan Christopher Worley dalam buku mereka ‘Built To Change’.

Kajian yang diterbitkan pada 2006 itu menunjukkan bahawa jumlah syarikat baru meningkat kepada 45 peratus antara tahun 1983 dan 1993. Jumlah ini terus meningkat kepada 60 peratus antara tahun 1993 dan 2003.

(4) Antara statistik yang dibentangkan oleh Babson Collage, lebih daripada 40 peratus syarikat yang berada di puncak Fortune 500 pada tahun 2000 sudah tidak lagi kelihatan pada tahun 2010. Tak pasti sama ada bungkus, atau jatuh.

Mereka menyatakan bahawa mereka telah menyaksikan kematian jenama-jenama yang branded di Amerika, seperti Circuit City, Borders Books, Wherehouse, Tower Records, Pontiac, Saturn, dan Palm. Hari ini telah pudar dan hilang.

Masa depan yang belum tentu

(1) The Washington Post [1] turut menyiarkan tulisan Brian Solis pada 24 November 2011 yang bertajuk ‘Digital Darwinism and why brands die’ menyiarkan kajian daripada akhbar 24/7 Wall St pada Jun tahun itu yang bertajuk ‘Ten Brands That Will Disappear in 2012’.

Mengikut kajian tersebut, antara jenama yang diramalkan bungkus pada 2012 ialah Sony Pictures, American Apparel dan Nokia. Saya tidak pasti sama ada kajian tersebut ada kaitan dengan propaganda atau kajian akademik. Apatah lagi kajian yang didedahkan itu telahpun dipadam.

(2) Kajian yang mula memanas 10 tahun lepas ini dari sudut ekonomi dan dunia perniagaan. Apa yang ingin saya lontarkan, bukanlah sekadar dari sudut ekonomi. Akan tetapi sudah mula dibincangkan di peringkat pengurusan syarikat dan sebagainya.

Antara trend Digital Darwinism pada 2019 (sebelum Covid) [2], pelaburan yang dirancang untuk teknologi dan program digital antara USD5 hingga USD10 juta. 45 peratus tauke perniagaan membuat latihan untuk memodenkan kemahiran lama.

Sekitar 60 peratus tauke dikatakan ingin melabur dalam platform Chatbots dan Ai sama ada telahpun melabur atau masih dalam perancangan. Trend ini menggambarkan bahawa Digital Darwinism mungkin akan merebak ke dalam sektor-sektor lain juga.

(3) Apa yang ingin saya simpulkan, fenomena ini terkesan daripada perkembangan akal manusia, yang secara automatiknya meng’explore’. Perubahan dalam sektor ekonomi ini menyaksikan bahawa mereka yang tidak bertindak segera untuk berubah, bakal bungkus.

Apa yang kita perlu fikirkan sekiranya COVID-19 memberi kesan kepada banyak sektor. Dari sudut pengurusan syarikat, ekonomi, komunikasi, sosial dan sebagainya. Fenomena yang wujud hari ini, para asatizah mula berkuliah secara online, seminar online dan sebagainya.

Walaupun hari ini manusia agak kekok dengan perubahan ini, lama-lama akan terbiasa juga, kerana itulah tabiat manusia. Masyarakat akan menuju ke alam digital yang lebih terdedah kepada Hoax, propaganda dan percaturan.

[1] https://www.washingtonpost.com/national/on-innovations/digital-darwinism-and-why-brands-die/2011/11/20/gIQAR2jqlN_story.html

[2] https://usabilla.com/blog/top-digital-experience-trends-2019/

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 29/4/2020