PKP: Kes ingkar meningkat

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob. Sumber foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Tangkapan terhadap individu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam meningkat berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 683 individu telah ditahan semalam berbanding pada hari sebelumnya seramai 643 individu.

Jelasnya, 598 individu pula telah direman dan 85 individu dijamin polis.

“Seramai 879 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan ingkar PKP, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 22, 432 individu,” kata Ismail Sabri dalam sidang media harian PKP, hari ini.

Advertisement

Sementara itu katanya, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membuka sebanyak 249 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

Manakala sebanyak 169 kes masih dalam siasatan dan 26 kes telah didakwa di mahkamah serta 15 lagi telah mengaku bersalah.

Katanya, SKMM telah menubuhkan Pasukan Respon Pantas sejak 24 Mac bagi memerangi berita palsu berkaitan Covid-19.

Beliau juga memaklumkan operasi membawa pulang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) ke kampung halaman masih diteruskan, justeru itu seramai 3,194 pelajar dijadualkan pulang pada hari ini.

Ujarnya, operasi pada hari ini melibatkan intra zon yang merangkumi zon timur, zon selatan Perak dan Sarawak.

Di zon timur katanya melibatkan seramai 1,029 pelajar iaitu sebahagian Pahang Terengganu dan Kelantan yang akan memulakan pergerakan pada pukul 9 malam ini.

Sehubungan itu, sebanyak 80 buah bas dan 73 kenderaan persendirian akan digunakan ke 31 destinasi yang telah ditetapkan melalui 23 pusat pelepasan.

Di zon Perak pula katanya, membabitkan seramai 519 pelajar, di zon selatan; Johor, Melaka adalah seramai 1,366 pelajar dan zon Sarawak melibatkan seramai 280 pelajar akan dihantar pulang pada hari ini.- HARAKAHDAILY 30/4/2020