Rohingya: Antara impian dan realiti

rohingya

PADA ketika ini, isu berkaitan pelarian Rohingya menjadi perbualan hangat daripada kalangan rakyat Malaysia dan ada masanya ianya telah mengatasi perbincangan berkaitan isu COVID-19. Namun perbincangan berkenaan isu Rohingya ini sedikit sebanyak telah membuka mata rakyat Malaysia berkenaan isu ini. Pelbagai pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam membicarakan isu berkaitan pelarian Rohingya dengan ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan kehadiran pelarian Rohingya di Malaysia.

Sebelum kita mengupas lebih lanjut isu ini, kita perlu soroti semula sejarah masyarakat Rohingya itu sendiri. Rohingya adalah rakyat minoriti Islam yang mana majoritinya menginap di Utara Rakhine, Myanmar. Mereka telah berada di Myanmar atau sebelum ini dikenali sebagai Burma sebelum dinamakan Myanmar dalam tempoh yang lama dan mempunyai sejarah panjang termasuk kedatangan Islam dan pemerintahan Islam di kawasan komuniti Rohingya di Myanmar. Namum, masyarakat Rohingya telah dinafikan kerakyatan oleh pemerintah Myanmar dan tidak diberikan hak asas mereka di Myanmar. Pada ketika Myanmar menjadi negara tentera, Rohingya menjadi mangsa penganiayaan yang didalangi oleh pemerintah Myanmar. Dengan pelbagai penderitaan yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya di Myanmar maka mereka mula melarikan diri ke negara lain antaranya di negara Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, Thailand dan termasuk juga negara kita.

Advertisement

Berdasarkan statistik kehadiran pelarian Rohingya di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 15,001 pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia pada tahun 2009, kepada 30,463 pada 2013, sebelum mencecah 54,856 pada tiga tahun berikutnya iaitu pada tahun 2016. Pada ketika ini dianggarkan di Malaysia, seramai antara 100,000 ke 200,000 pelarian Malaysia berada di Malaysia.

Tentu sekali sebelum ini masyarakat Malaysia melahirkan rasa simpati dengan pelarian Rohingya sebagaimana rasa simpati yang dizahirkan kepada puluhan ribu pelarian Vietnam pada tahun 1978 selama 12 tahun yang ditempatkan di Pulau Bidong, Terengganu sebelum mereka dipindahkan ke negara ke tiga. Malaysia juga meneruskan rasa simpati dan tanggungjawab untuk menerima pelarian dari Kemboja pada ketika mereka menyelamatkan diri daripada rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot dan memasuki Malaysia.

Rasa simpati ini tidak hanya melibatkan warga Asia Tenggara sahaja bahkan ianya turut melibatkan rasa simpati dan tanggungjawab masyarakat Malaysia semasa penghapusan etnik Bosnia oleh Serbia antara 1992 ke 1995 yang mana Malaysia juga bersimpati dan turut memberi perlindungan kepada pelarian dari Bosnia-Herzegovina. Sehingga hari ini terdapat satu flat di Seri Serdang berdekatan Universiti Putra Malaysia yang sering disebut sebagai Flat Bosnia dan ini menunjukan betapa rakyat Malaysia sentiasa konsisten dengan sifat simpati dan rasa tanggungjawab untuk membantu masyarakat lain daripada negara lain. Namun, berdasarkan kepada penjelasan di atas, bukan satu persoalan untuk menafikan rasa simpati atau tanggungjawab rakyat Malaysia untuk membantu pelarian yang telah dizahirkan dengan contoh yang jelas bahawa rakyat Malaysia sentiasa bermurah hati untuk membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan.

Namun persoalan yang timbul pada ketika ini adalah kapasiti Malaysia dan rakyat Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang sedia ada dan pelarian baharu yang cuba memasuki perairan Malaysia. Sebenarnya Malaysia pada ketika ini tidak mempunyai kapasiti untuk membantu mana-mana pihak lain samaada pekerja asing, pendatang tanpa asing atau pelarian selain daripada hanya memberikan fokus untuk membantu rakyat Malaysia sahaja.

Bahkan saya melihat bukan tugas yang mudah bagi kerajaan untuk memberikan fokus dan perhatian kepada rakyat Malaysia sahaja disebabkan oleh populasi rakyat Malaysia juga pada ketika ini telah mencecah 32.7 juta iaitu satu angka yang besar untuk dijaga oleh kerajaan. Banyak perkara yang perlu diselesaikan pasca COVID-19 terutamanya peluang pekerjaan yang semakin berkurangan dengan unjuran yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada ketika ini juga menunjukkan 2.4 juta rakyat Malaysia berkemungkinan kehilangan pekerjaan pasca COVID-19 disebabkan oleh penutupan atau pengurangan pengoperasian industri termasuk sebahagiannya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta penguncupan ekonomi Malaysia dan dunia.

Bahkan angka ini boleh menjadi lebih besar sekiranya COVID-19 berterusan. Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada kira-kira 4 peratus jika dibandingkan hanya 3.2 peratus pada Januari 2020. Anggaran peratusan ini juga boleh meningkatkan sekiranya pandemic COVID-19 berterusan dalam jangka masa yang lebih lama. Mengambil kira unjuran 4 peratus adalah angka yang tertinggi dalam sejarah kadar pengangguran di Malaysia bahkan melepasi kadar pengangguran semasa dua krisis ekonomi yang berlaku sebelum ini iaitu Krisis Kewangan pada tahun 1998 iaitu 3.2 peratus dan Krisis Kewangan Dunia tahun 2009 iaitu 3.7 peratus. Angka ini amat menggerunkan dan bukan mudah untuk ditangani disebabkan oleh angka yang terlibat adalah besar dan berkemungkinan akan lebih ramai rakyat Malaysia akan dikategorikan sebagai B40 (pendapatan isi rumah dalam julat terendah 40 peratus dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,360).

Pada pandangan saya, antara perkara yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini iaitu kerajaan tiada pilihan kecuali menyekat pelarian Rohingya ke tanah air. Namun, semasa sekatan dilaksanakan, kerajaan boleh menyediakan keperluan makan dan keperluan lain untuk membantu pelarian meneruskan perjalanan ke negara lain. Sebelum ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mematahkan cubaan bot yang membawa kira-kira 200 etnik Rohingya daripada memasuki kawasan perairan negara. Bagaimanapun kapal TLDM KD Lekiu telah mengagihkan bekalan makanan dan keperluan lain sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara. Ini adalah satu contoh yang wajar dipuji dan diteruskan iaitu simpati tetapi tegas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kerana kita tidak mempunyai kapasiti untuk membenarkan mereka masuk ke dalam negara. Kerajaan juga perlu memperketatkan kawalan sempadan negara sepanjang masa daripada dilolosi oleh pendatang atau pelarian asing.

Bagi pelarian Rohingya yang telah berada di dalam negara yang dianggarkan antara 100,000 hingga 200,000 maka kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan daripada Penganalisis Jenayah, Dato’ Shahul Hamid Abdul Rahim iaitu penghantaran pulang etnik Rohingya di Malaysia ke Myanmar selaras keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari lalu, yang mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi etnik Rohingya serta menyimpan bukti jenayah yang dilakukan terhadap mereka. Beliau juga menjelaskan bahawa status asal etnik Rohingya di negara ini adalah pendatang tanpa izin (PATI) dan hanya diterima berlindung di Malaysia atas dasar kemanusiaan. Jaminan keselamatan mereka sebaik pulang ke Myanmar pula adalah di bawah tanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebagai langkah berhati-hati agar keselamatan pelarian dijaga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk penghantaran pulang secara berperingkat bukan hanya melibatkan pelarian Rohingya bahkan pelarian atau pendatang asing daripada negara lain seperti Myanmar, China, India dan negara lain. Ini juga termasuk pekerja asing yang berada di Malaysia secara tidak sah. Kita tidak mahu ada mana-mana kawasan di Malaysia yang dikuasai oleh pekerja asing, pendatang atau pelarian seperti terjadi di Selayang. Sebelum penghantaran pulang dilaksanakan, kerajaan juga perlu memastikan bahawa kelengkapan mereka untuk pulang mencukupi dan mencari jalan diplomasi dengan negara lain khususnya negara Myanmar untuk menerima semula masyarakat Rohingya atau terpaksa mencari negara ketiga untuk didiami oleh masyarakat ini. Impian perlu berpaksikan pada realiti dan Malaysia pada ketika ini tiada kapasiti untuk membantu rakyat negara lain melainkan hanya dapat membantu rakyat Malaysia sahaja terutamanya pasca COVID-19.

PROFESOR MADYA DR ANUAR SHAH BALI MAHOMED – HARAKAHDAILY 30/4/2020