Takut yang salah

NETIZEN sekarang ini boleh selongkar kisah kita dulu-dulu. Jadi kita takut, kita pun senyap, takut salah taip, lawan arus netizen, nanti netizen dedahkan yang kita ini dulu pernah mencuri kambing jiran, skodeng anak dara orang, makan dekat kedai tak bayar, selalu hutang tapi tak bayar, pernah cuba rogol itik serati, pakai emas Zhulian, bukan asli, tak lulus periksa tapi mengaku ada sijil dan macam-macam lagilah. Hebatnya mereka. Tetapi belum tentu apa yang dituduh netizen itu betul, mungkin juga fitnah sahaja bagi menjatuhkan kita.

Sebaliknya, sudah lama Allah memberitahu kita di dalam al-Quran, yang Dia akan buat begitu di akhirat, Dia akan dedahkan semua dosa-dosa kita sama ada dosa terang atau dosa sembunyi dan dihakimi dengan adil seadil-adilnya, tanpa menzalimi kita, di hadapan seluruh manusia, jika kita tidak bertaubat sekarang di atas dunia.

Tapi kita langsung tak takut, langsung tak layan, langsung tak berhenti dari dosa, langsung tidak mahu bertaubat. Lalu kepada siapa kita takut dosa kita didedahkan? Kepada manusia di dunia didedahkan netizen atau kepada siapa?

Advertisement

Dosa itu ialah sesuatu yang kita benci diketahui orang, namun kita dapat rasa jauh di lubuk hati ianya salah. Sebab itu mendedahkan perilaku dosa kita, amat kita benci dan takut. Sesuatu yang pastinya kita tidak mahu terjadi. Kita mahu menjadi simpanan kita sahaja.

Pendedahan netizen mungkin hanya memalukan kita sama ada benar atau tidak dan mereka tidak mengetahui semua dosa dan noda kita, terutama dosa tersembunyi. Tetapi Allah Maha Mengetahui semua dosa yang di depan atau di belakang dan lebih menggerunkan, pendedahan Allah itu, ia hadir sekali bersama seksaan neraka yang pedih.

Dan, netizen yang suka mendedahkan aib orang itu juga tidak terlepas dari hukuman Allah, kerana mereka cuba menjalankan kerja Allah, menghukum manusia dengan mengaibkan manusia lain yang kadang-kadang hanya kerana alasan benci. Semakin banyak share kerana fitnah atau membuat aib itu, semakin tebal alasan kepada Allah untuk menyeksa si netizen itu. Adakah rasa takut kita itu salah diletakkan tempatnya?

Atau anda juga ahli kelab netizen yang suka menyebarkan atau membaca sesuatu yang tidak tahu benar atau salah? Berhentilah, takutlah kepada Allah. Adakah ulamak turut sama berada dalam kumpulan netizen itu? Tiada kan? Sebab mereka tahu itu dosa besar.

MOHD NASIR ABDULLAH
30 April 2020 – HARAKAHDAILY 30/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.