Apakah tujuan dan kesan Moratorium

BANYAK pihak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dan Bank Negara Malaysia berkenaan penangguhan pembayaran balik pinjaman / pembiayaan, yang dipanggil sebagai #moratorium.

Advertisement

Namun semua pihak perlu faham apakah tujuan langkah ini diambil, dan apakah kesannya kepada individu dan peniaga yang terbabit.

Pertama, tujuan utama langkah ini diperkenalkan adalah untuk meringankan aliran tunai (cashflow) dan bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga, seperti yang disebut dalam kenyataan BNM bertarikh 25 Mac 2020,

“Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020”.

Justeru langkah moratorium ini adalah bagi memastikan setiap individu dan peniaga mempunyai ‘lebihan tunai’ dalam tempoh 6 bulan yang mencabar ini, supaya dapat bertahan dan boleh berbelanja seterusnya menggerakkan ekonomi negara.

Secara umumnya impak kepada pengguna adalah sangat positif dengan ‘penjimatan pembayaran’ sekitar 30%-50% daripada pendapatan bulanan, manakala ekonomi juga bakal mendapat rangsangan positif apabila rakyat dan peniaga boleh terus berbelanja.

Kedua, apakah kesannya kepada obligasi pembayaran balik selepas tamat tempoh penangguhan 6 bulan kelak?

Penulis pernah menjelaskan sebelum ini bahawa moratorium ini adalah bersifat ‘cuti pembayaran’ (payment holiday), bukannya ‘cuti faedah/keuntungan’ (interest/profit holiday).

Ini berdasarkan kenyataan BNM bertarikh 25 Mac 2020, “Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan”

Maka pengguna perlu memahami secara terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap penangguhan ini, meliputi aspek:

  1. Jadual pembayaran semula (revised payment schedule)
  2. Jumlah bayaran ansuran (total repayment)
  3. Jumlah bayaran faedah/keuntungan (interest/profit payment)
  4. Jumlah penalti/rebat, jika ada (penalty/rebate)

Susulan itu, beberapa bank tempatan telah mengumumkan bahawa kadar faedah/keuntungan tidak akan digandakan (will not be compounding interest/profit) dalam tempoh 6 bulan ini, dan penangguhan ini akan dilakukan secara automatik bermula 1 April 2020.

Ternyata polemik yang ditimbulkan adalah terhadap aspek pembayaran faedah/keuntungan (interest/profit payment), sedangkan tujuan utama langkah ini adalah memberikan ‘lebihan tunai’ melalui ‘penjimatan pembayaran’ bagi membantu rakyat, peniaga dan ekonomi negara yang terjejas dengan wabak COVID-19 dan PKP yang sedang dilaksanakan.

Justeru kenyataan terbaru BNM bertarikh 30 April adalah bertujuan untuk menangani isu-isu prosedur dan pematuhan kepada akta perbankan berkaitan, selain mewajibkan pihak bank untuk bersikap telus dengan pihak pengguna dengan menjelaskan secara terperinci pilihan dan kesan daripada penangguhan pembayaran ini.

Kesimpulannya, kunci kepada langkah ini adalah ketelusan, dan hikmah di sebalik polemik ini adalah celik kewangan.

SYAHIR SULAIMAN, HARAKAHDAILY 1/5/2020

Bacaan lanjut:

BNM: Reiteration of Our Statements on Moratorium, 30 April 2020

https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_announcement&pg=en_announcement&ac=796&lang=en

BNM: Measures to Assist Individuals, SMEs and Corporates Affected by COVID-19, 25 March 2020

https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press&ac=5018&lang=en

The Edge: These Banks Won’t Compound Interest, Profit Rates During Six-Month Loan Moratorium, 30 Mac 2020

https://www.theedgemarkets.com/article/rhb-first-local-bank-waive-compound-interest-or-profit-during-sixmonth-moratorium