Bukan Melayu turut terima sumbangan MP Tumpat

TUMPAT: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menyebabkan ada penduduk yang terjejas rutin kehidupan mereka di mana kini telah dikuatkuasakan bagi fasa keempat.

Advertisement

Tidak ada yang terkecuali, namun mematuhi arahan di bawahnya amat penting ke arah kebersamaan memutuskan rantaian COVID-19 di mana kini menjadi wabak pembunuh utama di dunia.

Menyantuni situasi dialami penduduk, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi telah menyampaikan sumbangan menerusi Skim Al-It’am DUN Kelaboran di Pusat Khidmat DUN, di sini.

Sumbangan tersebut diwakilkan penerimaan menerusi para Penghulu Mukim, termasuk juga Penghulu Tanpa Mukim mewakili kaum Siam iaitu Cham Roen Eh Rong dan kaum Cina, Kang Beng Ann.

Agihan menerusi Penghulu untuk dipanjangkan kepada para penduduk itu adalah sebagai mematuhi antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di bawah arahan PKP.

Malah, pihak urusetia penganjur acara juga mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan suhu setiap Penghulu yang hadir menerima serta mengamalkan penjarakan sosial bagi setiap orang.

Dato’ Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II turut menyampaikan sumbangan beras dan kurma untuk DUN Pengkalan Kubur sehari sebelumnya. – HARAKAHDAILY 1/5/2020