COVID-19: Wabak yang dijangkakan?

wabak

RAMADAN tahun ini ternyata berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Wabak COVID-19 yang menular di seluruh dunia pasti menginsafkan kita. Kekuasaan Allah yang luas, mudah sekali mengalahkan kebijaksanaan manusia yang terbatas. 

Virus Corona SARS-2 (Severe acute respiratory syndrome coronavirus-2; SARS-CoV-2) telah dikenalpasti sebagai virus baru di dalam keluarga virus Corona dan ia menjadi penyebab kepada jangkitan COVID-19. Pelbagai jenis virus di dalam keluarga Corona ini, telah dikenalpasti menjangkiti mamalia dan burung. 

Sehingga kini, tujuh jenis virus Corona telah dilaporkan menjangkiti manusia. Jangkitan virus Corona jenis 229E, OC43, NL63 dan HKU1, biasanya menyebabkan selesema ringan (common cold) di kalangan individu yang imunokompeten (immunocompetent). Jangkitan ini insyaAllah sembuh dalam masa kurang dari 14 hari. 

Advertisement

Namun pada tahun 2002, masyarakat dunia telah dikejutkan dengan epidemik yang dikenali sebagai sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Wabak ini bermula di wilayah Guangdong di China. Virus Corona SARS dilaporkan mengorbankan hampir 10 peratus daripada mangsa jangkitan. Virus ini dilaporkan berasal dari jenis virus Corona yang menjangkiti kelawar. Ia kemudiannya menggunapakai sejenis musang (civet cat) sebagai perumah pertengahan (intermediate host) bagi bermutasi sebelum menjangkiti manusia. Alhamdulillah, langkah kawalan jangkitan berjaya membendung penularan wabak ini. 

Sedekad kemudian, sekali lagi kita dikejutkan dengan epidemik berpunca dari virus Corona. Kali ini dengan jumlah peratusan kematian yang lebih tinggi di kalangan mangsa jangkitan, iaitu 35 peratus. Virus Corona MERS dikenalpasti menyebabkan jangkitan sindrom pernafasan di Timur Tengah. Sebagaimana virus Corona SARS, virus Corona MERS  juga dilaporkan berasal dari jenis virus Corona yang menjangkiti kelawar. Virus ini kemudiannya menjangkiti unta (dromedary camel) dan bermutasi sebelum menjangkiti manusia. 

Berdasarkan fakta ini, ternyata virus Corona yang asalnya menjangkiti haiwan mampu bermutasi bagi menjangkiti manusia (zoonosis) dengan cara yang lebih agresif. Kerana itu, terdapat pakar-pakar virus telah menjangkakan, akan berlakunya wabak jangkitan virus Corona yang meluas di seluruh dunia. 

Kini saintis melaporkan virus Corona SARS-2 juga berasal dari kelawar. Biarpun begitu, perumah pertengahan yang digunapakai oleh virus ini bagi bermutasi masih menjadi tanda tanya. Virus Corona SARS-2 mempunyai jujukan genom (genomic sequence) 86 peratus menyerupai virus Corona SARS dan berkongsi reseptor sel perumah yang sama. Bagaimanapun, nisbah kemampuan virus ini merebak (reproductive ratio; R nought) dari seorang pesakit kepada pesakit-pesakit lain, berkemungkinan jauh lebih tinggi berbanding virus Corona SARS (R nought ~3). Sehingga kini, peratusan kematian disebabkan oleh virus Corona SARS-2 masih belum dapat dipastikan, kerana jumlah jangkitan dan kematian terus meningkat di seluruh dunia. Terkini, angka kematian dikaitkan dengan COVID-19 melebihi 200 ribu orang di seluruh dunia. 

Sebagai seorang yang beriman, fakta ini akan lebih meningkatkan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah. Keupayaan Allah mentadbir, menghidup dan mematikan makhluk, tidak dapat dihalang oleh sebarang upaya yang lain. Maha Suci Allah yang dariNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan dikembalikan. 

DR HANI’AH ABDULLAH
Alderley Park – HARAKAHDAILY 1/5/2020

Rujukan utama
-Wilder-Smith et al., 2020. Lancet Infect Dis. 
-Zhu et al., 2020. N Engl J Med & WHO situation report-100

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.