Kerajaan imbangi usaha pulih ekonomi, bendung COVID-19

KUALA LUMPUR: Mulai 4 Mei depan, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Advertisement

Langkah ini diambil sebagai usaha untuk mengimbangi keperluan bagi memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, negara berdepan kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari.

Hingga setakat ini katanya, kerugian telah dianggarkan sekitar RM63 bilion hingga boleh mencecah jumlah keseluruhan RM98 bilion.

“Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat,” ujar Muyiddin.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Sempena Sambutan Hari Buruh yang disiarkan secara langsung, tengah hari tadi.

Ulasnya, hanya beberapa industri dan kategori perniagaan sahaja yang tidak dibenarkan beroperasi seperti perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.

“Selain perniagaan, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan,” katanya.

Ujar Muhyiddin, larangan terhadap aktiviti keagamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan aktiviti berjemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat masih dikekalkan.

Manakala perjalanan rentas negeri juga tidak dibenarkan melainkan untuk tujuan bekerja dan individu yang terkandas di kampung untuk pulang ke tempat bekerja adalah dibenarkan.

“Perjalanan rentas negeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan.

“Buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

“Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

“Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan Covid-19,” katanya lagi – HARAKAHDAILY 1/5/2020