Siasat segera dalang sindiket Mykad

MUTAKHIR ini timbul isu sindiket penjualan MyKad. Ia kembali hangat diperkatakan rakyat, majoriti daripadanya bimbang akan keselematan negara memandangkan terdapat kemungkinan musuh mengambil kesempatan dalam kelompongan itu.

Isu ini mula membuka mata rakyat apabila berlaku pendedahan sindiket melibatkan beberapa kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang penghujung tahun lalu.

Namun, ianya pudar berikutan kemunculan isu-isu lain seperti penularan wabak Covid-19 dan juga peletakkan jawatan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Bagaimanapun isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila timbul isu berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mula timbul akibat krisis Covid-19 ini.

Advertisement

Mudah kata, isu ini amat rumit kerana ia membabitkan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa antarabangsa seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara asal PATI sendiri, pelarian dan sebagainya.

Lebih parah, kemasukan warga asing di Malaysia sehinggakan tercetusnya sindiket penjualan MyKad kepada mereka ini dimana pastinya mengundang impak negatif buat rakyat dan masa depan negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kerajaan harus melakukan satu penelitian berhubung isu ini.

Katanya, satu siasatan rapi harus dibuat dan ia mestilah dilakukan secara telus memandangkan perkara sebegini pastinya melibatkan ‘orang dalam’ ataupun ‘duri dalam daging’ yang semakin membarah dalam institusi pertahanan dan keselamatan negara.

“Kita mahu satu siasatan rapi dibuat dan mana-mana pihak yang terlibat, tidak kira siapa sahjaa dalam terutama sekali dalam isu yang melibatkan warga asing ini untuk di siasat secara telus dan ambil tindakan yang tegas,” ujarnya.

Kata beliau, berhubung laporan 95 peratus warga China dan India yang tidak mempunyai rekod keluar melalui Sistem Imigresen Malaysia, beliau menyarankan beberapa langkah untuk diambil sebagai solusi kepada permasalahan ini.

“Dua langkah yang perlu diambil, yang pertama kerajaan (harus) meneliti semula semua rekod-rekod kemasukan yang berlaku supaya kita dapat kenal pasti keberadaan mereka ini.

“Keduanya kerajaan perlu menyiasat secara serius isu ini dan mengambil tindakan pantas untuk memastikan semua pelancong yang duduk secara haram ini dihantar pulang secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang kejadian atau insiden yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan oleh keberadaan mereka sebagai perisik khas atau secara tidak sah selama ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga turut memberi saranan bernas untuk menghadapi krisis ini memandangkan beliau turut berpendapat sama bahawa isu ini memerlukan siasatan rapi.

Beliau menyarankan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu ini ditubuhankan kerana ia merupakan satu situasi yang serius dan bakal menjadi ancaman besar buat keselamatan negara terutamanya.

Apatah lagi, ia berkemungkinan melibatkan penglibatan pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

“Terlalu banyak mistri dan tanda tanya berkenaan isu ini yangg tiada kata putus daripada pihak berwajib, contohnya sehingga kini tiada tindakan untuk dalang disebalik sindiket penipuan talian terbesar di Cyberjaya yang melibatkan sejumlah warga asing yang ramai,” ujarnya.

Ulasnya lagi, beliau yakin rakyat mahu tahu tindakan lanjut yang dikenakan terhadap ‘pengkihanat negara’ atau enam individu termasuk Pegawai JPN Pulau Pinang yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada September tahun lalu.

Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat Malaysia antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.- HARAKAHDAILY 1/5/2020